Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning
 
Sejak diperkenalkan Januari lalu, perkhidmatan perbankan tanpa cawangan (PTC) Bank Simpanan Nasional (BSN) mencatatkan lebih 600,000 transaksi bernilai lebih RM50 juta di seluruh negara.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning berkata, jumlah itu termasuk transaksi deposit bernilai RM6.2 juta, sekali gus dijangka meningkatkan jumlah deposit bank itu bagi tahun ini, berbanding RM19.5 bilion tahun lalu.

“Kami meninjau untuk meningkatkan usaha bagi menarik lebih ramai orang membuat deposit. Itulah sebabnya dari masa ke masa kami mengkaji semula kadar bagi menjadikannya  menarik selain melancarkan beberapa kempen.

“Kami mempunyai sasaran tersendiri menjelang akhir tahun,” katanya selepas majlis perasmian perkhidmatan itu di Putrajaya, semalam. Majlis dirasmikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Adinan berkata, perkhidmatan PTC itu memudahkan pelanggan dan orang ramai melakukan transaksi perbankan terpilih dengan ejen-ejen yang dilantik dan yang berdaftar dengan BSN terutama di kawasan- kawasan yang tidak  mempunyai perkhidmatan bank, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Beliau berkata, transaksi yang ditawarkan pada masa ini adalah pengeluaran wang, deposit, pembayaran bil, pembelian Sijil Simpanan Premium (eSSP) dan pembayaran tanpa tunai, di mana ejen-ejen akan dibekalkan dengan alat  terminal Point of Sale (POS) yang dilengkapi perkhidmatan radio paket am (GPRS) tanpa wayar untuk melakukan transaksi berkenaan.

BSN turut meninjau untuk menawarkan lebih banyak transaksi melalui perkhidmatan itu pada masa hadapan termasuk pembayaran balik pinjaman seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dankiriman wang.

Katanya, RM30 juta dilaburkan untuk menyediakan perkhidmatan itu, termasuk bagi menyediakan sistem yang diperlukan, latihan ejen dan aktiviti promosi.

Sehingga kini, BSN mempunyai 1,500 ejen berdaftar di seluruh negara dan yakin jumlah itu akan meningkat kepada 5,000 orang pada  2014. - Bernama