Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan meminta kerajaan menambah
dana bagi Program Pembiayaan TeraS berikutan sambutan menggalakkan
terhadap dana itu sejak ia dilancarkan Ogos lalu.
Source from (Berita Harian):
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TERAJUmintatambahDanaTeraS/Article
Published: November 07, 2012
Nor Mohamed menyaksikan pertukaran dokumen antara
Mohd Radzif (kiri) dan Husni, di Kuala Lumpur., semalam.
Ketua Eksekutifnya, Husni Salleh, berkata pihaknya berkemungkinan besar
memohon dana tambahan itu jika peruntukan sedia ada yang berjumlah RM500
juta habis dalam tempoh terdekat ini.
“Perkara itu sedang dalam perbincangan,” katanya pada sidang media
selepas memeterai secara rasmi perjanjian antara Bank Perusahaan Kecil
& Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) dan TERAJU di Kuala Lumpur,
semalam.
Di bawah perjanjian berkenaan, SME Bank dan TERAJU membentuk kerjasama untuk menguruskan dana yang dipanggil Dana TeraS itu.
Tingkat penyertaan
Mengikut perjanjian itu SME Bank akan menilai permohonan dan
menyalurkan pembiayaan di bawah dana itu yang dikemukakan oleh syarikat
yang disenaraikan di bawah Program Syarikat Bumiputera Berprestasi
Tinggi (TeraS).
Program TeraS, yang dilancarkan kerajaan tahun lalu bermatlamat
meningkatkan penyertaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
Bumiputera tempatan dalam ekonomi.
TERAJU yang dipertanggungjawabkan menguruskan TeraS, menyasarkan
membangunkan 1,100 syarikat Bumiputera di bawah program berkenaan.
Setakat ini, ia sudah memilih 120 syarikat.
Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata
sejak permohonan Dana Teras dibuka Ogos lalu, bank itu telah meluluskan
16 permohonan daripada syarikat TeraS membabitkan pembiayaan berjumlah
RM190 juta.
Katanya, SME Bank juga sedang menilai 29 permohonan lagi membabitkan pembiayaan berjumlah RM470 juta.
“Daripada 120 syarikat yang disenaraikan di bawah program TeraS
setakat ini, tidak semua yang memerlukan pembiayaan, maka buat masa ini
jumlah dana yang diperuntukkan adalah mencukupi,” katanya.
Daripada RM500 juta yang diperuntukkan bagi Dana TeraS itu,
sebanyak RM150 juta dikhususkan untuk pinjaman bagi membiayai modal
kerja, yang mana sesebuah syarikat boleh meminjam antara RM1 juta hingga
RM10 juta.
Perkhimatan sokongan
Sebanyak RM350 lagi diperuntukkan bagi membiayai pembelian aset
yang membolehkan sesebuah syarikat memohon pinjaman sehingga RM20 juta.
Mohd Radzif berkata, antara faktor yang diambilkira oleh SME Bank
dalam menilai sesuatu permohonan bagi dana itu ialah aliran tunai
syarikat, peringkat pelaksanaan projek serta jenis pengembangan yang
diperlukan.
Sementara itu, pada majlis semalam, SME Bank turut melancarkan
Pusat pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR) yang berperanan
menyediakan perkhidmatan sokongan kepada usahawan.
CEDAR akan menjadi pusat rujukan untuk pembangunan dan transformasi usahawan
dengan menyediakan perkhidmatan seperti latihan, rundingan,
pembangunan dan penyelidikan (R&D), seminar serta persidangan di
samping menerbitkan bahan penyelidikan.
Pusat itu juga menyediakan sokongan kepada kakitangan institusi
kewangan untuk membantu meningkatkan keupayaan usahawan tempatan.
Pelancarannya disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan
Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain.