Thursday, February 13, 2014

Tabung Haji jangka dana pendeposit capai RM50b akhir tahun ini

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji menjangkakan dana pendepositnya mencapai RM50 bilion pada akhir tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Paduka Ismee Ismail.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SSPkhasuntukpenjawatawam/Article
Published: August 02, 2013

Beliau berkata, pada masa ini, dana tersebut berjumlah RM45.6 bilion, dengan 8.3 juta jumlah pendeposit.

"Tahun lalu, kami bermula dengan dana berjumlah RM35 bilion dan ditutup pada kira-kira RM43 bilion. Saya fikir keyakinan masyarakat sangat penting. Ini menggambarkan tahap keyakinan mereka terhadap Tabung Haji," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bengkel Pelan Pengurusan Risiko Rasuah kumpulan itu hari ini.

Sementara itu, Ismee berkata Tabung Haji akan meneruskan aktiviti pelaburan sedia ada dengan memberi tumpuan kepada ekuiti dan hartanah.

"Tahun ini khususnya akan rancak dalam sektor hartanah dalam dan luar negara kerana ia mendapat pulangan berulang. Kita yakin tentang sektor hartanah terutama di Malaysia.

"Sudah tentu fokus lebih kepada Kuala Lumpur, tetapi kita juga berhasrat untuk melebarkan lagi operasi ke kawasan seperti di Iskandar, Johor dan koridor-koridor lain," katanya sambil menambahn Tabung Haji sedang menilai pelbagai cadangan yang diterima.

Beliau juga berkata, pengambilalihan Tabung Haji ke atas Unilever House di Leatherhead Office Park di Surrey, United Kingdom juga, telah selesai. Sehingga 31 Disember 2013, aset peruntukan pelaburan terbesar TH ialah ekuiti sebanyak 37 peratus, diikuti pasaran wang dan instrumen kewangan lain (25 peratus), pendapatan tetap (26 peratus) dan hartanah (12 peratus).

Mengenai kos haji, Ismee berkata pihaknya menjangkakan kos menunaikan haji akan meningkat.

"Jangan keliru kos haji dengan bayaran haji, ia adalah dua perkara berbeza. Kos haji akan meningkat, tetapi naik atau tidak bayaran menunaikan haji, tidak dapat diputuskan lagi.

"Saya baru pulang dari Mekah dan rata-rata kerja pembinaan masih rancak. Segala pergerakan harga hanya sehala, iaitu naik. Saya difahamkan selepas musim haji akan banyak lagi bangunan akan diruntuhkan," jelasnya.

Mengenai Metodologi Saringan Syariah Yang Disemak Semula yang diumumkan Suruhanjaya Sekuriti, Ismee berkata: "Saya dimaklumkan oleh ketua pegawai pelaburan bahawa kita tak mendapat implikasi yang banyak daripada peraturan tersebut".

Sementara itu, dalam ucapannya Ismee berkata Tabung Haji telah merangka satu Pelan Pengurusan Risiko Rasuah sebagai mekanisme meningkatkan integriti dan kecekapan pengurusan di samping mengurangkan risiko rasuah.

Menurutnya, bengkel yang dijalankan hari ini akan mengenalpasti risiko rasuah dalam setiap aktiviti jabatan dan anak syarikat Tabung Haji bagi menutup ruang dan peluang salahguna kuasa, penyelewengan dan kesan negatif kepada tadbir urus korporat.

Tabung Haji juga telah menguatkuasakan polisi berkaitan pencegahan rasuah antaranya Polisi Pendedahan Maklumat Tentang Salah Laku di Tempat Kerja dan pematuhan 'Dasar Anti Pengubahan Wang Haram dan Keganasan', katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment