Monday, April 15, 2013

Datuk Bandar Mekah: Pembesaran Masjidil Haram tingkatkan keselesaan jemaah

MEKAH - Projek pembesaran Masjidil Haram yang sedang dilaksanakan secara besar-besaran tidak akan meningkatkan kos menunaikan ibadah haji, kata Datuk bandar Makkah Dr Osama Fadhel Al-Bar.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/global/datuk-bandar-mekah-pembesaran-masjidil-haram-tingkatkan-keselesaan-jemaah-1.149904
Published: April 15, 2013

Beliau berkata projek mega itu, yang dilancarkan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Abdullah pada Nov 2011, semata-mata bertujuan untuk memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan lebih selesa, selamat dan mudah.

Katanya projek itu adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan kerajaan Arab Saudi sebagai hadiah kepada umat Islam dari seluruh dunia, selain projek pembangunan kemudahan Jamrat, perkhidmatan tren antara Mina, Muzdalifah dan Arafah dan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.

"Jemaah tidak akan dikenakan cukai berikutan pelaksanaan projek pembesaran ini. Kos yang dikenakan terhadap jemaah hanyalah bagi perkhidmatan yang disediakan organisasi yang diamanahkan kerajaan masing-masing untuk mengurus keperluan mereka dengan kerjasama Kementerian Haji Arab Saudi," kata Dr Osama kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang mengunjungi pejabatnya di sini pada Sabtu.

Projek bernilai SR80 bilion itu dianggap projek pembesaran terbesar dalam sejarah Masjidil Haram, dijangka meningkatkan kemampuannya untuk menampung keperluan jemaaah tiga kali ganda daripada yang ada sekarang apabila disiapkan kelak.

Projek selama enam tahun itu dibahagi kepada tiga fasa, dengan setiap tahun, kerja pembinaan hanya dapat dilaksanakan selama lapan bulan kerana dalam empat bulan lagi, kerja terpaksa ditangguhkan sempena musim haji.

Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan bahawa keseluruhan keluasan Masjidil Haram adalah 356,000 meter persegi dan mampu menampung keperluan lebih kurang 770,000 jemaaah, manakala projek pembesaran yang meliputi kawasan seluas 456,000 meter persegi ini akan dapat menampung keperluan 1.2 juta jemaah haji apabila siap sepenuhnya kelak.

Dr Osama berkata di samping pembinaan di dalam kawasan Masjidil Haram untuk memenuhi keperluan kira-kira 1.6 juta jemaah, projek pembesaran ini juga akan melibatkan pembangunan kawasan luar masjid itu seperti dewan rehat, terowong dan kemudahan lain untuk memudahkan pergerakan jemaah.

Mengulas peranan Lembaga Tabung Haji (TH), beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan itu menjadi contoh terbaik tentang bagaimana sebuah lembaga urusan tabung haji sepatutnya beroperasi.

Kata Dr Osama, dalam ucapannya pada satu simposium antarabangsa tentang usaha mendidik jemaah haji ketika beliau menyandang jawatan Dekan Penyelidikan Penjaga Kemudahan Dua Masjid Suci, beliau menyebut TH sebagai antara contoh organisasi terbaik yang patut dijadikan contoh oleh negara dari seluruh dunia dalam mengurus keperluan jemaah haji.

Dr Osama berkata ketika mengunjungi Malaysia pada 1996, beliau kagum dengan usaha yang dilaksanakan untuk mendidik bakal jemaah seperti kursus mengerjakan tawaf yang menggunakan replika Kaabah, kelas bimbingan cara memakai ihram dan sebagainya.

Rabu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail dilaporkan berkata kos yang dikenakan TH terhadap rakyat Malaysia yang mengerjakan ibadah haji tahun kini dikekalkan pada RM9,980 seorang, walaupun kos sebenarnya meningkat.- Bernama

No comments:

Post a Comment