Friday, March 16, 2012

MIDF salur pinjaman RM365j

400 syarikat, perusahaan dijangka dapat manfaat pembiayaan 3 skim. MALAYSIAN Industrial Development Finance Bhd (MIDF) mensasar menyalurkan pembiayaan berjumlah RM365 juta tahun ini di bawah tiga skim pinjaman mudah yang dikendalikannya.

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MIDFsalurpinjamanRM365j/Article
2012/03/12

Skim itu ialah Skim Pinjaman Mudah Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SLSME), Skim Pinjaman Mudah Untuk Automasi dan Permodenan (SLSAM), serta Skim Pinjaman Mudah Untuk Automotif dan Pembangunan (SLSAD).
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Najib Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 400 syarikat dan perusahaan akan mendapat manfaat daripada pembiayaan itu.

“Daripada jumlah keseluruhan pembiayaan itu, kami bakal menyalurkan RM213 juta di bawah SLSME, RM60 juta di bawah SLSAM dan RM92 juta kepada SLSAD,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau menambah, daripada 400 syarikat dan perusahaan yang disasarkan itu pula, 236 adalah bagi SLSME, SLSAD (100) SLSAM (64).

Tahun lalu, MIDF menyalurkan pembiayaan berjumlah RM273 juta di bawah tiga skim pinjaman mudah itu kepada 392 syarikat yang sebahagian besarnya diperuntukkan untuk SLSME dengan nilai keseluruhan RM179 juta membabitkan 359 syarikat.
Mengenai kriteria utama untuk pembiayaan itu, Mohd Najib berkata, setiap permohonan akan dinilai secara terperinci dari segi tahap daya maju perniagaan dan kebolehan menjana keuntungan atau aliran tunai yang sewajarnya untuk membayar balik pinjaman.

Katanya, MIDF juga melihat komitmen pinjaman syarikat terbabit dengan institusi kewangan lain, komitmen pemegang saham atau pengarah terhadap perniagaan dan komitmen lain yang berkaitan perniagaan syarikat sebelum meluluskan permohonan mereka.

“Sektor yang menjadi keutamaan sejak 50 tahun lalu adalah perkilangan atau pembuatan dengan 78 peratus usahawan dari sektor itu mendapat kemudahan pinjaman MIDF setakat ini,” katanya.

Mengenai kos pembiayaan skim berkenaan, beliau berkata, MIDF mengenakan kadar faedah pinjaman serendah empat peratus kepada syarikat atau perusahaan dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan lima peratus bagi syarikat bukan PKS.

“Tempoh bayaran balik mengikut jenis pinjaman. Contohnya, bagi pembiayaan pembelian aset tetap seperti hartanah perindustrian atau komersil, tempoh yang dibenarkan sehingga 15 tahun. Bagi pembiayaan pembelian mesin, jentera dan peralatan pula, tempohnya adalah sehingga enam tahun,” katanya.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, MIDF merancang memperkenalkan skim pinjaman khusus untuk pembiayaan pembelian hartanah komersial.

Menerusi produk itu, katanya, ia memberikan kelebihan kepada peminjam atau usahawan beroperasi di premis milik mereka dengan kos pembiayaan tetap tanpa perlu bimbang mengenai pergerakan Kadar Asas Pinjaman (BLR).

“Kelebihan utama program pembiayaan ini ialah proses kelulusan pinjaman dan pengeluaran wang akan dipercepatkan supaya syarikat atau perusahaan yang berdaya maju boleh mengembangkan perniagaan mereka dengan kos yang minimum,” katanya.

No comments:

Post a Comment