Saturday, July 21, 2012

SME Bank Bhd akan menerbitkan Program sukuk RM3b

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProgramsukukRM3b/Article/index_html

Published: July 21, 2012

TERBIT SUKUK...(dari kiri) Mohd Radzif,  Gumuri,  Ahmad Husni dan Dr Mohd Irwan melihat dokumen pada Program IMTN di Kuala Lumpur, semalam.
TERBIT SUKUK...(dari kiri) Mohd Radzif, Gumuri, Ahmad Husni dan 
Dr Mohd Irwan melihat dokumen pada Program IMTN di Kuala Lumpur, semalam.

SME Bank Bhd akan menerbitkan Program Nota Jangka Sederhana Islam jaminan kerajaan (Program IMTN) bernilai RM3 bilion membabitkan tempoh matang hingga 20 tahun untuk keperluan modal kerja patuh syariah.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, program sukuk itu dapat membantu pihaknya menyusun semula model perniagaan bagi menyokong pertumbuhan serta memperkasa ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi rangkaian syarikat.

“Selain itu, program ini dapat menyediakan dana tambahan untuk membantu lebih banyak penggiat PKS. Terbitan pertama program IMTN akan menggunakan struktur wakalah yang diterima secara meluas di negara Majlis Kerjasama Teluk,” katanya pada majlis menandatangani terbitan sukuk berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, tranche pertama itu membabitkan jumlah RM500 juta untuk tempoh tujuh hingga 10 tahun.

“Tranche kedua pula mungkin akan diterbitkan menjelang akhir tahun atau awal tahun depan,” katanya.

Sebelum itu, SME Bank menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Dana Terselaras 1-SME bernilai RM263 juta dengan Kementerian Kewangan bagi mempermudah dan mengoptimum kegiatan pembiayaan dan capaian kumpulan sasaran.

Menerusi program itu, sebanyak 18 dana di bawah penyeliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), diselaraskan kepada lima kumpulan yang diuruskan SME Bank.

Husni turut melancarkan Skim Penyuburan Semula PKS (PSP) yang juga dikenali sebagai Program Peluang Kedua bagi membantu penggiat PKS yang berdaya maju tetapi bermasalah mendapatkan pembiayaan tambahan untuk perniagaan yang dijalankan.

“Skim ini bertujuan memudahkan penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan institusi kewangan yang mengambil bahagian selain memberi kemudahan pembiayaan tambahan kepada penggiat PKS berdaya maju dengan pembiayaan tertunggak atau terjejas, tertakluk kepada jumlah pembiayaan agregat maksimum tidak lebih RM5 juta, termasuk pembiayaan baru di bawah PSP,” katanya.

No comments:

Post a Comment