Sunday, June 23, 2013

CGC beri manfaat 9,000 PKS baru

CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan untuk memberi manfaat jaminan kredit kepada 8,000 hingga 9,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baru.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/cgc-beri-manfaat-9-000-pks-baru-1.174548
Published: Jun 23, 2013
Credit Guarantee Corporation
Ketua Eksekutif CGC Malaysia, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, melihat momentum syarikat mula meningkat, CGC yakin mencapai sasaran itu menjelang hujung tahun ini.

"Sejak enam bulan pertama tahun ini, CGC berada dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran dalam memberi manfaat menjamin pinjaman bernilai RM2 bilion yang telah mencecah RM500 juta setakat ini," katanya selepas majlis pelancaran buku panduan PKS ‘Catalysing SME Growth’ di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perkembangan positif ini menandakan peranan dan fungsi CGC sememangnya penting dalam membantu memacu syarikat PKS untuk lebih berdaya saing dalam membantu memberi jaminan kredit.

Katanya, kadar bayaran balik CGC kepada bank kini adalah 98 peratus jauh lebih tinggi daripada 60 hingga 70 peratus kira-kira 20 tahun lalu.

“Kami mahu mencapai tahap yang mana dengan adanya jaminan daripada CGC, tiada keraguan timbul untuk pinjaman akan dibayar kepada bank. Apabila bank membuat tuntutan, CGC akan membayar penuh kepada pihak bank,” katanya.

Mengulas berhubung perkembangan syarikat, Wan Azhar berkata, CGC turut menyasarkan untuk membuka institusi jaminan kredit di Timur Tengah dan Afrika berikutan minat yang ditunjukkan oleh dua negara itu.

“Minggu depan, CGC juga akan ke Papua New Guinea dan Mongolia untuk menandatangani perjanjian dengan kerajaan mereka untuk menubuhkan institusi jaminan kredit di sana," katanya.

Sejak penubuhannya pada 1972, CGC telah menjamin pinjaman bernilai RM51.4 bilion kepada 420,000 PKS menerusi 42 skim yang disediakan.

Fokus teras perniagaan CGC adalah untuk membantu PKS yang kurang mempunyai cagaran atau tiada cagaran dan rekod perniagaan untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan menyediakan perlindungan jaminan.

Antara usahawan PKS yang telah berjaya di bawah perlindungan jaminan ini seperti Nelson’s Franchise, Kicap Tamin, Minyak Masak Golden Palm dan D’Tandoor.

No comments:

Post a Comment