Thursday, August 1, 2013

Malaysia Masih Tunggu Keputusan Rayuan Kekal Kuota Haji

SUNGAI PETANI, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia masih menunggu keputusan rayuan bagi mengekalkan kuota haji yang diberikan selama ini, berikutan arahan mengurangkan kuota jemaah di semua negara sebanyak 20 peratus yang dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=967460
Published: August 01, 2013

Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata rayuan sudah dikemukakan oleh kerajaan dan beliau meminta agar pemohon bersabar sekiranya mereka tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini.

"Kita sudah buat rayuan, jadi sekarang kita tunggu keputusan daripada Arab Saudi. Mungkin dalam bulan September ini kita boleh dapat laporan terperinci.

"Saya minta mereka semua agar dapat bersabar sebab ini bukan kehendak kita. Jika panjang umur, tahun hadapan boleh pergi, dan dalam senarai pada tahun depan, keutamaan akan diberikan kepada 20 peratus jemaah yang terpaksa dipotong daripada senarai tahun ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membawa kira-kira 120 anak yatim dari 60 buah sekolah di sekitar Parlimen Baling, membeli baju raya di sebuah gedung pakaian di sini Rabu.

Kuota rasmi jemaah haji untuk Malaysia adalah sebanyak 0.1 daripada penduduk negara ini iaitu 27,900 dan dengan pengurangan 20 peratus hanya 22,320 yang dapat menunaikan haji tahun ini.

Pengurangan kuota haji ini berikutan kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan semula di kota Makkah terutama di Masjidil Haram yang berjalan selama tiga tahun sejak musim haji lepas berakhir.

Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata Tabung Haji membuat kajian terperinci, khususnya dari segi faktor usia, dalam penyenaraian jemaah yang bakal mengerjakan haji pada tahun ini.

"Kita kaji dari segi faktor usia, kaji bagaimana jika diberikan keutamaan kepada orang yang lebih tua tetapi pada tahap kesihatan yang sempurna, termaktub pada pemeriksaan saringan kesihatan yang dijalankan," katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment