Monday, February 20, 2012

Bank Rakyat antara 300 koperasi terbaik

IPOH 18 Dis.(Utusan Malaysia - Bisnes) - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd., (Bank Rakyat) mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila tersenarai dalam laporan Global 300, Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) sebagai antara 300 koperasi terbaik dunia.

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_06.htm

MD. Yusof Samsudin (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian Bangunan Angkasa Negeri Perak sambil diperhatikan oleh Abdul Fattah Abdullah (kiri) dan Radzi Jaafar di Ipoh, Perak, semalam.

Berdasarkan laporan Global 300 ICA yang diumumkan baru-baru ini, bank koperasi itu berada di tempat ke-245, menjadikannya koperasi pertama di Malaysia yang pernah tersenarai dalam laporan tersebut.

Senarai itu berdasarkan prestasi dan pencapaian koperasi gabungan ICA bagi tahun 2008.

Sebelum ini, bank berkenaan bersama beberapa koperasi dari Malaysia hanya tersenarai dalam 150 koperasi ICA terbaik di kalangan negara-negara membangun.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md. Yusuf Samsudin berkata, pengiktirafan besar itu amat membanggakan sekali gus membuktikan keupayaan koperasi Malaysia untuk menyerlah di peringkat global.

''Pengiktirafan tersebut berdasarkan beberapa kriteria termasuk perolehan tahunan yang memberangsangkan, manfaat yang diperoleh ahli serta kualiti produk Bank Rakyat," katanya selepas merasmikan bangunan baru Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Perak di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Angkasa negeri, Radzi Jaafar.

Md. Yusuf berkata, selain Bank Rakyat, pihaknya menyasarkan sebuah lagi koperasi Malaysia iaitu Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) akan disenaraikan dalam Global 300 ICA pada tahun depan.

''Berdasarkan perolehan tahunan serta nilai aset yang sangat memuaskan, kita yakin KPF juga mampu tersenarai," katanya sambil menambah laporan prestasi koperasi terbabit kepada ICA akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Md. Yusuf memberitahu, SKM mengunjurkan perolehan tahunan koperasi di negara ini mampu mencecah sehingga RM24 bilion pada tahun depan, meningkat enam peratus berbanding tahun ini.

Katanya, dengan jumlah koperasi yang dijangka meningkat kepada 10,000 buah berbanding 9,000 pada tahun ini, sasaran itu mampu dicapai melalui penglibatan lebih banyak koperasi dalam bidang perniagaan berskala besar.

''Sebab itu, kita sedang mengatur pelbagai strategi bagi membolehkan koperasi-koperasi kecil dan sederhana menceburi bidang perniagaan berpendapatan tinggi seperti perumahan, perladangan, pengangkutan dan pemerosesan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment