Monday, February 20, 2012

SME Bank unjur biaya pinjaman PKS naik 8%

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SMEBankunjurbiayapinjamanPKSnaik8_/Article/index_html

17/02/2012 (Harian Metro): BANK Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) mengunjur peningkatan sebanyak lapan peratus bagi pembiayaan pinjamannya kepada syarikat industri kecil dan sederhana tempatan pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata berbanding RM1.7 bilion yang dikeluarkan pada 2011, jangkaan itu dilihat mampu dicapai menerusi produktiviti syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang 2012 termasuk sumbangan projek di bawah program transformasi ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Bagi 2011, secara keseluruhannya pinjaman yang diagihkan kepada PKS tempatan bernilai RM1.7 bilion yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 syarikat. Jumlah ini juga telah meningkat daripada hanya RM800 juta pada tahun sebelumnya.

“Justeru, sasaran ini pasti dapat direalisasikan terutama dengan aktiviti PKS tempatan yang lebih giat sekali gus menembusi pasaran luar secara lebih agresif,” katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Unit Individu dan Perniagaan Mikro Koperasi Kewangan Jepun (JFC-Micro) di Menara SME Bank, Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Pengurusan JFC-Micro, Tadaaki Udo dan Timbalan Ketua Pejabat Kerjasama Antarabangsa JFC-Micro, Kazutaka Sagara.

Mengulas lanjut, Mohd Radzif berkata, MoU terbabit adalah kesinambungan kerjasama dua institusi berkenaan sebelum ini yang diperkukuhkan menerusi jalinan peringkat kedua.

“Bagi Jepun saja, hasil dana yang dikendalikan SME Bank sehingga 31 Januari lalu adalah sebanyak RM2 bilion apabila ia sudah memanfaatkan kira-kira 1,700 SME di negara ini,” katanya.

Sejak 2005, jumlah pembiayaan yang disalurkan SME Bank bernilai RM13.6 bilion.

No comments:

Post a Comment