Monday, February 20, 2012

SME Bank terbit sukuk RM3b

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SMEBankterbitsukukRM3b/Article

MUKHRIZ (kiri) diberi penerangan oleh Gumuri (tengah) dan Mohd Radzif selepas melancarkan i-Programmes di Plaza Sentral, semalam.

chewan@bharian.com.my
2011/12/20

SME Bank akan menerbitkan sukuk berjumlah RM3 bilion bagi meningkatkan jumlah dananya untuk disalurkan sebagai pembiayaan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melaksanakan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata dana yang diraih daripada sukuk yang dijamin kerajaan itu akan digunakan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun depan sehingga 2014.
Katanya, pihaknya merancang menerbitkan sukuk itu secara berperingkat dengan peringkat permulaan bernilai RM500 juta.
“Pembiayaan ini khusus untuk usahawan atau syarikat PKS dalam sektor perkhidmatan, pengilangan dan pembinaan yang terbabit dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Mereka yang mahu mendapatkan pembiayaan ini boleh memohon mengikut saluran biasa bermula tahun depan,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Enterpris Sentral (SEC) Plaza Sentral di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, bank pembangunan turut melancarkan tiga skim di bawah program pembiayaan ‘i-programmes’ dan model perniagaan baru yang akan menjadi teras kepada program transformasinya untuk tempoh 2011 hingga 2015.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir. Turut hadir Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain.

Sementara itu, Mohd Radzif berkata, SME Bank memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk disalurkan sebagai pembiayaan pada tahun depan.
Katanya, daripada jumlah itu, SME Bank menyasarkan untuk mengagihkan sebanyak RM300 juta di bawah i-programmes menerusi skim i-Surf, i-Reach dan i-Splash.

“Jika sambutan bagi bagi ketiga-tiga skim di bawah i-programmes ini menggalakkan, SME Bank bersedia menambah jumlah peruntukkan ini pada masa depan,” katanya.

Mengulas pelancaran SEC, beliau berkata, selain berfungsi sebagai pejabat wilayah SME Bank, ia turut berperanan sebagai pusat bimbingan, pusat penjana keuntungan, pusat pemasaran efektif dan pusat pengurusan bagi pihak yang berkepentingan.

Beliau berkata, sejajar dengan program transformasi SME Bank, pihaknya akan melabur sebanyak RM1.5 juta lagi bagi membuka tiga cawangan baru di Batu Pahat, Kajang dan Klang, manakala lapan lagi cawangan mini akan dibuka seperti di Sungai Petani, Kemaman, Rawang, Pasir Gudang, Lahad Datu, Bintulu dan Sandakan.

No comments:

Post a Comment