Monday, February 20, 2012

Pembiayaan dijangka naik (SME Bank)

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm

Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes.utusan@gmail.com

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd. (SME Bank) menjangka pengeluaran pembiayaannya tahun ini meningkat sebanyak lapan peratus berbanding sebanyak RM1.7 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, jangkaan itu disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan meliputi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan komponen penting dalam memacu ekonomi negara dan penglibatannya dalam beberapa projek kerajaan yang dijangka meningkat tahun ini.

“Sejak tahun 2005 hingga 2011, sebanyak RM13.6 bilion telah diluluskan oleh SME Bank bagi membantu 7,546 usahawan tempatan,” katanya selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Finance Corp. Micro Business 7 Individual Unit (JFC-MICRO) di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Pengurus Eksekutif JFC-MICRO, Tadaaki Udo, Timbalan Ketua Hubungan Antarabangsa JFC-MICRO, Kazuta Sagara dan Pengarah Pengurusan Strategik SME Bank, Mohd. Rizal Mohd. Jaafar.

Mengulas mengenai kerjasama dengan JFC-MICRO, Mohd Radzif berkata, hubungan yang dijalin meliputi kerjasama teknikal dalam peningkatan analisis kredit dan merangka hubungan dua hala antara PKS kedua-dua negara.

“Setakat ini SME Bank telah memperoleh dana lebih RM2 bilion daripada pihak Jepun dengan JFC-MICRO telah menyumbang sebanyak RM800 juta.

“Kerjasama dengan pihak Jepun telah memberi manfaat kepada 1,200 usahawan meliputi sektor pembuatan, pengangkutan, penyimpanan, komunikasi dan pendidikan,” jelasnya.

Pihak SME Bank juga sedang merangka pelan membawa usahawan tempatan ke Jepun dan juga mencari peluang kerjasama strategik untuk usahawan Jepun ke Malaysia.

No comments:

Post a Comment