Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SMEBankbukatigalagiSEC/Article/index_html
20/12/2011 (Harian Metro): SME Bank akan terus memainkan peranannya membantu perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini apabila memperuntukkan pelaburan RM1.5 juta untuk membuka tiga lagi Pusat Enterpris Sentral (SEC) dan lapan cawangan mini SME di seluruh Malaysia menjelang tahun depan.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata pada masa ini pihaknya mempunyai 19 rangkaian SEC dan komited untuk menjadikannya sebagai pusat bimbingan, penjanaan untung, pemasaran yang efektif dan pusat pengurusan bagi pemegang saham.
“Kami merancang untuk membuka tiga lagi SEC di Kajang, Klang dan Batu Pahat. Manakala lapan cawangan mini adalah yang pertama diperkenalkan oleh SME Bank bagi memudahkan lagi pemasaran dan antara lokasinya adalah di Sungai Petani, Kemaman, Rawang, Pasir Gudang, Lahad Datu, Bintulu dan Sandakan.
“Selain itu, bagi ketiga-tiga program baru SME Bank, sebanyak RM300 juta akan diperuntukkan bagi disalurkan kepada PKS yang berkelayakan. Malah, pada tahun 2012, lebih kurang RM1 bilion dana SME Bank sedia untuk disalurkan kepada PKS yang memerlukan pembiayaan untuk membantu meningkatkan produktiviti usahawan,” katanya di majlis pelancaran SEC di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain.
Mohd Radzif berkata, dana RM1 bilion itu juga termasuk dengan RM300 juta yang diperuntukkan bagi semua program baru SME Bank dan setakat ini dana yang sudah disalurkan kepada PKS di seluruh negara berjumlah RM4.4 bilion.
No comments:
Post a Comment