Monday, February 20, 2012

BSN jadi perintis

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_04.htm

Azaddin Ngah Tasir menunjukkan kaedah perkhidmatan Perbankan Tanpa Cawangan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Orang ramai terutamanya penduduk kawasan luar bandar kini boleh mendapatkan akses perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank melalui perkhidmatan Perbankan Tanpa Cawangan, Bank Simpanan Nasional (BSN) yang telah dilancarkan hujung Januari lalu.

Dengan hanya mengunjungi ejen-ejen dilantik BSN, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan simpanan deposit; pengeluaran tunai; pembayaran bil utiliti; pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) dan pembayaran tanpa tunai (kad debit) yang turut disediakan di cawangan BSN.

Naib Presiden Kanan / Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti BSN, Azaddin Ngah Tasir berkata, langkah itu adalah sejajar dengan matlamat BSN untuk memberikan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat.

Katanya, perkhidmatan itu memberikan kelebihan kepada BSN untuk mendekati pelanggan mereka khususnya penduduk luar bandar tanpa perlu membuka cawangan baharu yang melibatkan kos yang tinggi.

"Biarpun tanpa cawangan, orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan BSN dan ternyata lebih memudahkan kerana tidak perlu berjalan jauh.

''Setiap ejen yang dilantik adalah terdiri daripada mereka yang dekat dengan masyarakat setempat seperti pengusaha kedai runcit di kawasan kampung yang telah lama beroperasi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau menambah, setakat ini seramai 668 ejen telah dilantik dan dibekalkan dengan logo serta poster BSN untuk memudahkan orang ramai mengenali mereka.

Azaddin menegaskan, orang ramai tidak perlu risau dan bimbang tentang kredibiliti ejen-ejen yang dilantik kerana BSN telah memberikan kursus, taklimat dan tunjuk ajar kepada mereka sebelum menjalankan operasi.

"Melalui perkhidmatan ini, apa yang kami pentingkan adalah kepercayaan kerana sekiranya ejen berkenaan membuat onar, nama baik BSN juga akan turut tercemar.

"Selain itu, pemantauan juga akan dilakukan oleh kakitangan BSN di cawangan bagi memastikan perjalanan operasi Perbankan Tanpa Cawangan berjalan dengan lancar," ujarnya.

Katanya lagi, biarpun belum sampai sebulan diperkenalkan, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan kira-kira 18,000 transaksi telah dijalankan dan BSN kini dalam proses mempromosikan perkhidmatan itu agar sampai ke pengetahuan masyrakat yang lebih besar.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03- 21425258 atau melayari laman sesawang www.mybsn.com.my.

No comments:

Post a Comment