Tuesday, July 10, 2012

Haji: Tabung Haji nasihat jangan terpedaya dengan sindiket

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/nasional/haji-tabung-haji-nasihat-jangan-terpedaya-dengan-sindiket-1.65013

Published: July 10, 2012

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji sekali lagi mengingatkan bakal jemaah haji agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak atau ejen yang mengenakan bayaran tertentu bagi mendapatkan kuota haji.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail berkata Tabung Haji tidak melantik mana-mana ejen kecuali agensi pelancongan atau pengelola jemaah haji yang diiklankan di akhbar untuk mengelola jemaah haji bagi menunaikan ibadah itu.

"Semua bakal jemaah boleh semak dengan Tabung Haji kalau ada keraguan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual selepas melawat Wisma Bernama hari ini.

Lawatan yang turut disertai 14 orang terdiri daripada pegawai pengurusan serta Komunikasi Korporat Tabung Haji itu meluangkan masa kira-kira dua jam di Jabatan Pengarang, Bernama TV dan Bernama Radio24.

Mengulas isu membabitkan sindiket melangkau giliran menunaikan haji dalam Sistem Maklumat Pengurusan Haji seperti yang dilaporkan media sebelum ini, Ismee berkata Tabung Haji kini memperketatkan lagi sistem berkenaan.

"Bagi jemaah yang balik haji tahun lepas, sistem kita tidak akan daftar untuk lima tahun akan datang, takkan terima namanya, lima tahun kemudiannya bila dia daftar kembali, ia tak bermakna dia akan dapat pergi terus tetapi akan tunggu giliran," katanya.

Beliau berkata tidak timbul soal sama ada telus atau tidak dalam menentukan giliran haji kerana bakal jemaah yang berada di barisan depan akan berpeluang menunaikan ibadah itu.

"Konsep kita mudah, yang dahulu didahulukan, barisan di depan la pergi dahulu, tetapi mereka yang pernah tunai haji memang peluang amat tipis untuk tunai haji sekali lagi, melainkan sebab tertentu seperti pergi sebagai mahram dan ada juga kerana tugas," katanya.

Ismee juga berkata kuota haji untuk tahun ini ialah seramai 27,800 jemaah. - Bernama

No comments:

Post a Comment