JEDDAH, 11 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan
perbincangan dengan Kementerian Haji Arab Saudi pada Rabu untuk
mendapatkan maklumat mengenai segala peraturan terkini dan persediaan
awal yang perlu dilaksanakan bagi musim haji tahun ini, demi keselesaan
jemaah.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=941105
Published: April 12, 2013
Pengerusinya Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor berkata pihaknya tidak
melihat sebarang masalah atau isu besar berhubung peraturan baharu yang
dikemukakan dalam perbincangan tahunan itu.
Menurutnya antara yang dibangkitkan dalam perjumpaan itu soal berkaitan
pendaftaran penginapan para jemaah, penghantaran air zam-zam, ibadah
korban serta pembayaran dam.
"Kita akur dengan beberapa peraturan baharu kerajaan Arab Saudi selaras
dengan projek pembangunan itu, mungkin ia akan beri kesan kepada
perjalanan haji nanti, tapi pada pandangan saya ia boleh dilaksanakan
tanpa banyak masalah dengan kerjasama semua pihak," katanya kepada
pemberita pada persidangan media di sini semalam.
Abi mengetuai pasukan TH manakala pasukan daripada Kementerian Haji
Arab Saudi diwakili oleh Pengerusi Muasassah Asia Tenggara Tan Sri
Sheikh Zuhair Abdul Hamid Sadayu dalam perbincangan itu.
Perbincangan tahunan itu berlangsung kira-kira 40 minit di pejabat
kementerian berkenaan di sini, dan menurut Abi ia berlangsung dalam
suasana mesra selaras dengan kerjasama baik dan hubungan akrab antara TH
dengan pihak kementerian itu.
Sementara itu menerusi penterjemah, Sheikh Zuhair pada persidangan
media yang sama berkata projek pembesaran Masjidil Haram membabitkan
tiga fasa, dengan fasa pertama dijadual selesai pada bulan Ramadan.
Beliau berkata keseluruhan projek mengambil masa 10 tahun untuk
disiapkan, namun menurutnya kerajaan Arab Saudi sedang berusaha
melaksanakannya dengan gigih, dan menjangka ia mungkin dapat disiapkan
dalam tempoh lapan tahun.
Merujuk kepada TH pula Sheikh Zuhair berkata hubungan baik antara
Kementerian Haji Arab Saudi dan Tabung Haji sudah terjalin sejak
kira-kira 30 tahun lalu.
Katanya beliau berharap semua negara Islam memiliki badan seperti
Tabung Haji yang dapat menguruskan perjalanan jemaah semasa mengerjakan
haji dengan begitu baik, teratur dan lancar sekali.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment