Wednesday, June 20, 2012

Institusi kewangan perlu bekerjasama

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Published: Monday June 20, 2012


Mohd. Rizal Mohd. Jaafar (kiri) bertukar dokumen 
perjanjian dengan Winston Emmanuel (kanan) sambil 
disaksikan oleh Awang Adek Hussin, Mohd. Radzif 
Mohd. Yunus (dua kiri) dan Adinan Maning (dua kanan) 
di majlis menandatangani perjanjian persefahaman 
antara SME Bank dan Bank Simpanan Nasional di 
Menara SME Bank, Kuala Lumpur, semalam. 
KUALA LUMPUR 19 Jun - Institusi-institusi kewangan di negara ini digesa bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan faedah yang sama rata dan menyeluruh, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, banyak manfaat yang akan terhasil daripada kerjasama kerana ia mewujudkan sinergi yang lebih baik kepada kedua-dua pihak, selain daripada persaingan.

Ini kerana, jelas Awang Adek, persaingan antara institusi kewangan hanya memperlihatkan jurang antara satu sama lain.

Beliau memberitahu, kerjasama yang wujud juga dapat memudahkan urusan golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan 99 peratus dalam dunia perniagaan di negara ini.

"Selama ini, institusi kewangan tempatan kurang memberi penekanan kepada kerjasama dan ia perlu diteroka dengan lebih baik bagi memberi manfaat kepada semua pihak.

"Kerjasama yang wujud sepatutnya memberi ruang 'menang-menang' kepada seluruh institusi kewangan tempatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd. (SME Bank) dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, Timbalan Ketua Eksekutif (Perbankan Runcit) BSN, Winston Emmanuel Jayaprakash dan Pengarah Urusan Strategik SME Bank, Mohd. Rizal Mohd. Jaafar.

Tambah Awang Adek, tumpuan lain yang perlu diberi perhatian oleh institusi kewangan adalah sistem yang cekap untuk pembayaran semula pinjaman bagi mengurangkan kadar hutang tertunggak.

No comments:

Post a Comment