Friday, June 22, 2012

Tabung Haji muktamad beli hartanah UK

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TabungHajimuktamadbelihartanahUK/Article/index_html

Published: Monday June 22, 2012

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) dijangka memuktamadkan rundingan bagi pembelian hartanahnya di London September depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata, hartanah yang akan dibeli itu sudah dikenal pasti melalui tinjauan yang dijalankan pasukan khasnya sejak 2008.

“Hartanah di United Kingdom (UK) sememangnya sudah lama berada dalam perhatian kami. Namun kami amat berhati-hati dalam membuat pembelian kerana setiap aset yang dibeli Tabung Haji mesti mematuhi syariah. Justeru, kami sedikit perlahan berbanding agensi pelaburan lain.

“Hartanah yang akan dibelinya itu kini dihuni barisan penyewa yang menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak bertentangan dengan syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Pensijilan ISO daripada DQS dan SIRIM QAS International Sdn Bhd bagi Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (ISMS) dan bagi Pengurusan Perkhidmatan dan Operasi Haji di Malaysia dan Arab Saudi.

Pensijilan itu disampaikan kepada Ismee oleh Pengarah Urusan Kumpulan DQS, Michael Drechsel dan Pengarah Urusan SIRIM QAS, Khalidah Mistafa.

Mengenai usaha mengembangkan skop pelaburan Tabung Haji ke UK dengan membeli hartanah di London, beliau berkata, itu adalah bagi merebut peluang dalam bidang yang menjanjikan pulangan lumayan dan pendapatan tetap, sekali gus mampu memberikan kadar pulangan masa depan yang baik serta konsisten kepada pendeposit. - Bernama

No comments:

Post a Comment