Thursday, June 21, 2012

MIDF jangka harga FGV RM5.30

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: Monday June 21, 2012

KUALA LUMPUR 20 Jun - MIDF Research meletakkan sasaran RM5.30 bagi harga pasca-penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV).

Menurut firma penyelidikan itu, harga sasaran tersebut bersandarkan kepada penilaian segmen perniagaan yang mempunyai nilai tinggi jika dipisahkan atau dijual (sum-of-parts valuation).

"Terdapat pelbagai nilai yang akan direalisasi oleh FGV di bawah model perniagaan barunya dan diterjemahkan kepada harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 13 kali ganda, harga sasaran FGV adalah RM5.30," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata, FGV merupakan salah satu daripada komponen FBM KLCI dan berdasarkan harga runcit tawaran awam permulaan (IPO) iaitu RM4.55, ia mampu memperoleh modal pasaran sebanyak RM16.6 bilion sekali gus menjadi modal pasaran ke-22 terbesar di Bursa Malaysia.

"Dengan itu, FGV dilihat sebagai kaunter yang paling berpotensi di FBM KLCI, menjadikannya sebagai saham yang wajib dimiliki oleh setiap firma pengurusan dana.

Firma penyelidikan itu menambah, FGV dilihat berhasrat untuk mengedarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan bersihnya kepada pemegang saham selepas ia disenaraikan walaupun tidak pernah membayar sebarang dividen sejak tiga tahun lalu.

"Kami menyasarkan pendapatan sesaham adalah 40.29 sen seunit pada tahun kewangan 2013 dan FGV dijangka mengedarkan sekurang-kurangnya 20.50 sen sesaham sebagai dividen," katanya.

Tawaran awam permulaan (IPO) FGV adalah yang kedua terbesar selepas Facebook dan dijangka meraih RM9.96 bilion hasil.

Syarikat tersebut akan membelanjakan RM2.19 bilion hasil bagi perluasan bank tanah dan RM100 juta bagi meningkatkan keberkesanan operasi.

Syarikat yang merupakan penanam kelapa sawit ketiga terbesar dunia itu menguasai hampir 355,864 hektar tanah yang dipajak daripada Felda di Malaysia dan 56,385 hektar di Indonesia menerusi anak-anak syarikatnya serta syarikat usahasama. Selain perniagaan huluan, ia turut menceburi perniagaan hiliran dan gula.

No comments:

Post a Comment