Tuesday, July 23, 2013

Jambatan di kawasan tawaf dibuka minggu ini

MEKAH 22 Julai - Jurucakap Kementerian Haji Arab Saudi, Hatim Qadi hari ini berkata, jambatan baharu yang dibina di kawasan tawaf (mataf) di sekeliling Kaabah akan dibuka kepada jemaah pada minggu ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130723/lu_05/Jambatan-di-kawasan-tawaf-dibuka-minggu-ini
Published: July 23, 2013


Pembinaan jambatan di kawasan tawaf di sekeliling Kaabah, boleh membantu melancarkan pergerakan jemaah umrah yang dijangka semakin meningkat menjelang penghujung bulan Ramadan. - AGENSI

Beliau bagaimanapun berkata, hanya orang kurang upaya dan warga emas yang dibenar menggunakan jambatan itu.

Menurutnya, jambatan yang dibina mengelilingi Kaabah itu boleh menempatkan 7,000 jemaah yang berkerusi roda untuk setiap jam.

"Dengan adanya jambatan tersebut, pergerakan di kawasan tawaf biasa akan menjadi lebih lancar kerana tidak akan ada lagi penggunaan kerusi roda," katanya yang dipetik oleh Arab News.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah meningkatkan persediaan untuk menerima berjuta-juta jemaah pada 15 hari terakhir Ramadan.

Dalam tempoh itu, umat Islam dari seluruh dunia akan berpusu-pusu mengerjakan umrah dan menunaikan solat sunat Tarawih di Masjidilharam.

Kira-kira lima juta jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi dijangka menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan ini.

Umat Islam memilih untuk menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda umrah pada bulan Ramadan menerima ganjaran sama dengan ibadah haji. - AGENSI

No comments:

Post a Comment