Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) yakin dapat mencapai simpanan kira-kira RM400 juta tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus bagi Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) yang diperkenalkan sejak 1982 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Bahagian Pelajaran MARA.
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PikatsimpananRM400j/Article/index_html
Published: February 13, 2013
Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Perniagaan Komunitinya Azaddin Ngah Tasir berkata, melalui skim itu sekolah digalakkan menanam sikap suka menabung dan ia juga adalah satu pertandingan yang sihat bagi penabungan yang tinggi dan kerap antara sekolah serta pelajar.
“Kami memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan SGSP mencapai sasaran yang lebih tinggi tahun ini kerana dari segi pasaran ia masih lagi luas dan kami menyasarkan peningkatan 50 peratus bagi jumlah simpanan dan pelajar.
“Malah, setakat ini penyertaan SGSP berjumlah lebih 370,000 pelajar dengan nilai simpanan sebanyak RM240 juta yang membabitkan 3,800 sekolah di seluruh negara,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, di bawah SGSP ini wang simpanan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan seorang pelajar hanya dibenarkan mendaftar satu akaun saja.
Azaddin berkata, BSN turut memberikan kadar faedah yang lebih tinggi untuk SGSP berbanding simpanan biasa iaitu 1.40 peratus bagi baki akaun RM25,000 ke bawah dan 1.90 peratus untuk RM25,000 ke atas.
Beliau berkata, paling penting pelajar yang menyertai SGSP juga layak menikmati perlindungan insurans kemalangan termasuk perbelanjaan pengebumian sebanyak RM3,000 mengikut terma dan syarat.
“Syarat penyertaan ia terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bantuan kerajaan di seluruh Malaysia serta sekolah di bawah penyeliaan Bahagian Pelajaran Menengah MARA. Sekolah swasta pula tidak layak menyertai skim ini. Kaedah penyertaan pula terbahagi kepada dua cara iaitu melalui sekolah masing-masing atau kaunter cawangan BSN.
“Selain itu, setiap tahun BSN akan menyediakan hadiah wang tunai bagi beberapa kategori dan tahun ini jumlah wang tunai ditambah sebanyak RM252,000 berbanding RM180,000 sebelumnya,” katanya.
Hadiah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Individu (sekolah rendah dan menengah), Sekolah (rendah dan menengah) dan Anugerah Menabung Berhemah (rendah dan menengah) dari serendah RM8,100 hingga RM52,000 bagi mereka yang layak.
“Sebelum ini, kami hanya menyediakan 80 hadiah dan tahun ini ia ditingkatkan kepada 129 hadiah. Kami percaya jumlah ini akan dapat ditingkatkan pada masa depan kerana banyak lagi ruang untuk ditembusi memandangkan terdapat lebih 10,000 sekolah di seluruh Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment