RANAU, 26 Feb (Bernama) -- Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank)
meluaskan rangkaian cawangannya menerusi pembukaan cawangan Ranau, yang
beroperasi di Kedai SEDCO, Blok D, Lot 6, di pekan Ranau, yang terletak
di kaki Gunung Kinabalu.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=930477
Published: February 27, 2013
Pembukaan cawangan tersebut meluaskan lagi operasinya bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah.
Ia juga selaras dengan komitmen Agrobank untuk menyediakan perkhidmatan
perbankan moden kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan
pertanian seperti daerah Ranau, yang merupakan antara kawasan
pengeluaran sayur utama di Sabah, selain buah-buahan dan ternakan.
Selain itu, kedudukan Cawangan Ranau juga strategik dan merupakan pekan
persinggahan utama bagi pengguna kenderaan yang ingin ke Tawau,
Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.
Perasmian cawangan itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan
Negeri Karanaan (Ranau) Datuk Masidi Manjun, semalam.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan
Mohd Fadzmi Wan Othman dan Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin.
Menurut Wan Mohd Fadzmi, pembukaan cawangan baharu dilaksanakan secara
berperingkat dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi strategik dan
berpotensi, bagi memastikan pertumbuhan prestasi yang kukuh dari segi
operasi perbankan dengan capaian perkhidmatan kepada golongan sasar yang
meluas di seluruh negara.
Agrobank Cawangan Ranau beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 4.30
petang, Isnin hingga Jumaat dan menyediakan pelbagai perkhidmatan
kewangan, kemudahan perbankan, perkhidmatan deposit, kemudahan pinjaman,
perlindungan insurans, khidmat nasihat dan pelbagai perkhidmatan lain
termasuk kemudahan mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM).
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment