Wednesday, February 20, 2013

Syarikat Yang Dikaitkan Dengan Azim Zabidi Mungkin Terima Kontrak Biometrik RM160 Juta

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi mungkin telah memenangi kontrak "pengesahan biometrik" bernilai RM160 juta. Menolak untuk berkongsi butiran lanjut, seorang pembantu kanan Abdul Azim berkata bekas pengerusi BSN itu mungkin akan mengadakan sidang media pada Khamis untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang kontrak itu.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=929035
Published: February 20, 2013

Terdapat desa-desus bahawa ahli perniagaan itu sedang dalam proses menganggotai lembaga pengarah Patimas Computers Bhd, sebuah syarikat yang sedang menghadapi tekanan kewangan.

Abdul Azim menerusi Syawaras Sdn Bhd dan bersama-sama China Private Equity Investment Holdings Ltd memiliki hampir 15 peratus dalam Patimas Computers.

Syarikat itu dan anak-anak syarikatnya kini terlibat dalam pembekalan perkhidmatan, penyelesaian dan produk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Patimas Computers yang diletakkan di bawah Nota Amalan 17 perlu diselamatkan atau akan menghadapi penyahsenaraian Bursa Malaysia. Ia melaporkan kerugian bersih selepas audit sebanyak RM85 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Patimas Computers berkata ia telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang pemiutang daripada mengambil tindakan undang-undang sepanjang tempoh 60 hari.

"Perintah Menghalang itu akan membolehkan Patimas menumpukan pada memuktamadkan cadangan skim pengaturan tanpa gangguan tanpa perlu mengalihkan perhatian dan sumbernya untuk mempertahankan serta menguruskan apa-apa tindakan daripada pemiutang kumpulan," katanya.

Ia berkata skim cadangan itu akan diumumkan pada masa yang sesuai.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment