Friday, April 13, 2012

Ar-Rahnu Xchange ke luar negara




Ismail Sabri Yaakob memukul gong sebagai simbolik perasmian 
Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2012 di Kuala Lumpur,
 semalam.

KUALA LUMPUR 8 April - Bank Rakyat bercadang memperluaskan sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu Xchange melalui sistem francaisnya ke beberapa negara Islam di dunia.

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm 
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu sejajar dengan harapan kerajaan untuk terus melihat Bank Rakyat kekal berdaya saing dalam industri perbankan.

Katanya, persaingan dari bank tempatan semakin sengit dan difahamkan bank komersial lain juga sedang memohon kod pemotongan melalui gaji menyerupai sistem yang digunapakai oleh Bank Rakyat.
Beliau berkata, sehubungan itu, strategi baharu perlu dirangka oleh bank koperasi itu, seperti mengembangkan perniagaan pajak gadai.

''Antara negara yang berminat untuk mendapatkan francais Ar-Rahnu Xchange ialah Indonesia, Brunei dan China. Setakat ini, mereka tidak ada pajak gadai berlandaskan syariah seperti kita, yang mereka ada hanya pajak gadai biasa.

''Sehubungan itu, Bank Rakyat dalam proses mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), selain Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mendapatkan kebenaran untuk mewujudkan kerjasama dengan negara-negara luar,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2012 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md. Yusof Samsudin dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim.

Ismail Sabri berkata, antara tarikan sistem Ar-Rahnu Xchange ialah ia menawarkan sistem pajakan kewangan Islam yang telus dan adil serta tidak terbabit dalam unsur riba.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan tambahan sebanyak RM10 juta kepada dana skim Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tahun ini yang menjadikan jumlah keseluruhan RM50 juta.
Selain itu, kerajaan turut meneruskan skim bantuan Bengkel Kereta (Atom) dengan mengekalkan peruntukan sebanyak RM29 juta tahun ini.

Kedua-dua skim berkenaan telah dikelolakan oleh Bank Rakyat.
Ismail Sabri berkata, tambahan tersebut bagi menampung bantuan tambahan kepada usahawan untuk kegunaan modal awal perniagaan.
"Sebelum ini, skim Tukar hanya menawarkan pembiayaan mengubahsuai kedai dan tanpa bantuan modal operasi.

"Tahun ini, selain memberi bantuan RM60,000 untuk ubahsuai kedai, kerajaan menawarkan tambahan RM20,000 lagi untuk dijadikan modal perniagaan," katanya.
Skim Tukar telah berjaya menarik 519 usahawan berbanding sasaran awal 500 usahawan tahun lalu.

No comments:

Post a Comment