Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes.utusan@gmail.com
27/03/2012
KUALA LUMPUR 26 Mac - Kira-kira 926,578 ahli Bank
Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) bakal menikmati pembayaran
dividen sebanyak 20 peratus bagi tahun kewangan 2011.
Pemberian dividen yang tinggi itu hasil daripada perniagaan Bank
Rakyat yang telah mencapai keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM2
bilion, rekod terbaik dan tertinggi sejak penubuhannya.
Agihan dividen sebanyak 20 peratus merupakan gabungan daripada
dividen tunai sebanyak 15 peratus dan juga pemberian dividen bonus saham
lima peratus.
Dividen tunai membabitkan peruntukan sebanyak RM330 juta, manakala dividen bonus berjumlah RM105.5 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian dividen lebih tinggi pada
tahun ini kerana bank koperasi itu berjaya meningkatkan prestasi
kewangannya.
Keuntungan RM2 bilion itu merupakan kenaikan sebanyak hampir 50 peratus, berbanding keuntungan RM1.34 bilion pada tahun 2010.
Keuntungan sebelum cukai dan zakat pula sebanyak RM2.02 bilion, naik 17.6 peratus berbanding RM1.72 bilion.
''Rekod keuntungan ini hasil fokus Bank Rakyat terhadap pertumbuhan
aktiviti pembiayaan, di samping peningkatan kualiti aset walaupun
berhadapan dengan cabaran dalam industri perbankan tempatan,'' katanya
pada sidang akhbar selepas pengumuman prestasi kewangan itu.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan
Sri Dr, Syed Jalaludin Syed Salim.
Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat akan terus mengekalkan momentum
pertumbuhan pada tahun ini untuk merekodkan keuntungan sebanyak RM2.1
bilion, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tertekan.
''Kami tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan keuntungan melalui strategi-strategi yang disusun,'' tambah beliau.
Katanya, dalam jangka pendek ini, pembiayaan peribadi akan terus
menjadi sumbangan penting, sebelum Bank Rakyat mengurangkan tumpuan
kepada segmen tersebut dengan menumpukan pembiayaan komersial.
''Sudah sampai masanya, Bank Rakyat menumpukan pembiayaan komersial
kerana tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pembiayaan
peribadi,'' ujarnya.
Pada pengumuman itu, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat merekodkan
jumlah pendapatan kasar bertambah sebanyak 13.3 peratus kepada RM5.5
bilion dan pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit
bertambah kepada RM3.24 bilion.
Pendapatan dari sumber pembiayaan juga meningkat kepada RM4.46
bilion, yang mana sejumlah RM4.07 bilion disumbangkan oleh perbankan
konsumer dan perbankan komersial RM385.2 juta.
Jumlah aset Bank Rakyat juga melonjak sebanyak 17.1 peratus atau
RM10.57 bilion kepada RM72.48 bilion pada tahun 2011, selaras dengan
pertambahan kukuh deposit sepanjang tahun.
No comments:
Post a Comment