Wednesday, April 18, 2012

Tabung Haji labur hingga RM960 juta di UK

KUALA LUMPUR - Tabung Haji menjangka melaksanakan sekurang-kurangnya satu transaksi pelaburan hartanah komersial di United Kingdom bernilai 150-200 juta pound (RM720 hingga RM960 juta) tahun ini.

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tabung-haji-labur-hingga-rm960-juta-di-uk-1.39742
Published: 13 April 2012

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Ismee Ismail berkata, pelaburan hartanah berkenaan telah dikenalpasti untuk pelaburan melalui tinjauan yang dijalankan sejak 2008. Antara pertimbangan yang diambilkira dalam tinjauan berkenaan ialah mematuhi syariah.

"Kita agak berhati-hati kerana kita perlu kaji setiap syarikat yang menghuni hartanah berkenaan ialah syarikat yang patuh syariah," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Ikrar Integriti Korporat Malaysia yang turut disertai oleh pengurusan kanan, ketua pegawai eksekutif anak-anak syarikat serta 450 anggotanya di sini hari ini.

Majlis disaksikan oleh pengerusinya Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan presiden Institut Integriti Malaysia Datuk Mohd Tap Salleh.

Tabung Haji merupakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pertama yang menyertai Ikrar Integriti Korporat bagi mempertingkatkan tadbir urus korporat, akauntabiliti serta ketelusan budayanya ke tahap yang lebih tinggi.

Mengenai penjualan ladang kelapa sawit Tabung Haji di Indonesia, beliau berkata pihaknya bercadang menggunakan perolehan berjumlah AS$910 juta hasil daripada penjualan berkenaan untuk membeli tanah-tanah perladangan kelapa sawit di Malaysia.

"Kita akan mencari tanah (perladangan kelapa sawit) yang lebih dekat dengan kita di negara sendiri ataupun di negara-negara yang berjiranan yang mudah untuk kita uruskan," katanya.

Menegaskan bahawa sektor perladangan kelapa sawit sebagai satu sektor teras dalam perniagaan syarikat, penjualan tanah perladangan di Indonesia adalah sebagai penstrukturan semula portfolio perladangan kelapa sawit Tabung  Haji.

Pada majlis berkenaan, Abi Musa Asa'ari turut melancarkan e-Aduan Rasuah melalui laman sesawang syarikat berkenaan bertujuan untuk memudahkan orang awam dan anggota Tabung Haji melaporkan kes-kes penyalahan rasuah dan salah guna kuasa. – Bernama

No comments:

Post a Comment