Tuesday, April 10, 2012

Dividen 20 peratus

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dividen20peratus/Article/index_html

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my



HAMPIR sejuta pemegang saham Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menerima durian runtuh apabila bank koperasi itu mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 20 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengagihan dividen itu membabitkan pembayaran dividen tunai sebanyak 15 peratus berjumlah RM330 juta dan dividen bonus saham lima peratus atau RM105 juta.

Beliau berkata, pengagihan dividen lebih tinggi itu dapat dilaksanakan berikutan kejayaan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.02 bilion, meningkat 17.6 peratus atau RM301.9 juta berbanding RM1.72 bilion yang dicatatkan pada 2010.
“Pendapatan kasar bank Rakyat meningkat 13.3 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding RM4.86 bilion pada tahun sebelumnya dengan pembiayaan peribadi kekal sebagai penyumbang utama kepada keuntungan bank di samping pertumbuhan dalam pendapatan Ar-Rahnu dan aktiviti pelaburan.

“Rekod keuntungan ini diperoleh berikutan fokus Bank Rakyat terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan di samping peningkatan kualiti aset meskipun berdepan cabaran dalam industri perbankan,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Ismail Sabri berkata, bagi tahun ini, Bank Rakyat mengunjurkan untuk mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.1 bilion dan sasaran ini dijangka mampu dicapai dengan didorong peningkatan pinjaman persendirian serta pendapatan daripada Ar-Rahnu.

Beliau berkata, Bank Rakyat juga berhasrat menambah sembilan cawangan baru di seluruh negara iaitu di Pahang, Johor, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan masing-masing dua di Sabah serta Terengganu.

No comments:

Post a Comment