Friday, April 13, 2012

Bank Rakyat perkukuh Ar-Rahnu

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) akan mengukuhkan lagi perniagaannya dalam sektor selain pinjaman, khususnya pajak gadai patuh Syariah untuk membolehkannya berdepan persaingan sengit daripada peserta kewangan tempatan lain.

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BankRakyatperkukuhAr-Rahnu/Article
2012/04/09

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi mencapai tujuan itu Bank Rakyat kini sedang meninjau peluang mengembangkan perkhidmatannya dalam skim pajak gadai Ar-Rahnu ke beberapa negara seperti Indonesia dan Brunei.

Katanya, Bank Rakyat akan bertemu Bank Negara Malaysia dalam tempoh terdekat ini untuk mendapatkan kebenaran meluaskan cabang perkhidmatan itu ke luar negara.

Bank Rakyat kini tidak boleh terlalu bergantung kepada perkhidmatan pembiayaan peribadi saja kerana sudah banyak institusi kewangan lain yang diberi kebenaran membuat potongan gaji kepada pelanggan. - Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
“Bank Rakyat kini tidak boleh terlalu bergantung kepada perkhidmatan pembiayaan peribadi saja kerana sudah banyak institusi kewangan lain seperti Malaysia Building Society Bhd (MBSB), bank komersial, malah bank asing yang diberikan kebenaran membuat potongan gaji kepada pelanggan mereka.

“Keadaan itu mewujudkan persaingan dan tekanan kepada Bank Rakyat sebagai bank koperasi, justeru ia akan memberi perhatian kepada opsyen perkhidmatan lain dan salah satunya adalah perniagaan Ar-Rahnu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan (AGM) Bank Rakyat 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim.

Perkhidmatan pajak gadai Ar-Rahnu, iaitu antara produk nilai tambah yang disediakan Bank Rakyat kini menyumbang sekitar 10 peratus kepada pendapatannya.
Ismail Sabri berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu yang ditawarkan Bank Rakyat kini menerima perhatian sesetengah negara Islam yang tidak menawarkan kemudahan sedemikian di negara masing-masing.

“Ada sesetengah penduduk negara Islam yang tidak selesa dengan sistem konvensional yang ditawarkan di tempat mereka, terutama dari segi hukum dan keadilan pelaksanaannya.

“Kita sudah berunding dengan beberapa pihak berkuasa berkaitan, khususnya dari Indonesia dan Brunei,” katanya.

Mengenai calon pengganti Pengarah Urusan Bank Rakyat bagi menggantikan Datuk Kamaruzaman Che Mat yang menamatkan tempoh perkhidmatannya 28 Februari lalu, Ismail Sabri berkata, nama calon yang dikemukakan itu sudah dihantar kepada Bank Negara untuk kelulusan.

“Kita perlu menunggu kelulusan itu. Walaupun saya mempunyai kuasa untuk melantik Pengarah Urusan atau pun pengarah di bank ini, namun kita masih perlu mendapatkan kelulusan Bank Negara. Jika bank pusat tidak setuju dengan calon, maka saya akan mengemukakan nama lain,” katanya.

Tahun lalu, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM2.02 bilion, kali pertama dalam sejarahnya beroperasi meraih keuntungan melepasi angka RM2 bilion.

Berikutan itu, ia mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 20 peratus membabitkan pembayaran berjumlah RM435 juta kepada 926,578 anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

No comments:

Post a Comment