Sunday, April 22, 2012

Penternakan burung walet - Agrobank

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penternakanburungwalet/Article/index_html

Published: 21 April 2012
Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

MASALAH tiada modal membataskan usaha memulakan penternakan burung walet? Bukan itu saja, kesukaran mendapatkan pinjaman membuatkan seseorang dalam dilema memulakan usaha menternak burung walet.
Untuk minggu ini, Talian Hayat sekali lagi mendekati pelbagai isu.

Antaranya membuat tinjauan serta mendekati penduduk di kawasan berpotensi bagi mencari jalan terbaik membantu mengusahakan penternakan burung itu.

Kali ini, penonton diberikan penerangan dalam perspektif berbeza bagi memberi gambaran lebih jelas sebelum memulakannya.


Ramai berminat mengusahakan burung walet sukar mendapatkan pinjaman menerusi Agro Bank.

Paparan Talian Hayat mengenai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha 2010) dalam beberapa episod sebelum ini memaparkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr Aziz Jamaluddin mendedahkan potensi besar penternakan burung walet.

Sejak itu, isu memulakan usahawan burung walet mengundang pelbagai pertanyaan dan aduan.

Beliau menggalakkan orang ramai menceburi bidang penternakan burung walet. Mereka boleh mendapatkan modal melalui pinjaman tanpa cagaran sebanyak RM30,000 menerusi Agro Bank.

Selepas episod disiarkan, Talian Hayat menerima banyak reaksi terutama daripada penonton mendakwa sukar mendapatkan pinjaman Agro Bank.
Ada penonton mendakwa jumlah pinjaman minimum RM30,000 tidak cukup untuk mendirikan bangunan burung walet bersaiz paling kecil.

Selain itu, ada yang kurang berpuas hati terhadap jumlah peratusan penilaian ke atas harta tetap yang dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman.

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan dana kos murah RM67.7 juta untuk memacu industri pertanian berpotensi tinggi termasuk penternakan ikan hiasan, rumpai laut dan burung walet.

Minggu ini, Talian Hayat turut mengambil beberapa kemusykilan atau kes sampel tentang pinjaman bagi industri burung walet.

Antara kemusykilan adalah sepasang warga emas dari Guar Cempedak, Kedah yang melebihi had umur kelayakan mendapatkan pinjaman. Pasangan warga emas terbabit bukan saja berminat menceburi perniagaan, malah mempunyai sebidang tanah sawah yang sesuai untuk penternakan burung walet.

Bagaimanapun, halangan menjayakannya adalah tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan.

Dalam satu kes lain, dua adik beradik dari Nenasi, Pekan, Pahang juga berhasrat menceburi bidang penternakan burung walet di atas tanah hak milik bersama adik-beradik lain.

Mengikut potensi dan kesesuaian kawasan berkenaan, kawasan terletak antara Pekan ke Rompin dikenal pasti antara lokasi pengeluar sarang burung walet berkualiti tinggi.

Menerusi episod ini, akan dipaparkan permohonan yang akan dipertimbangkan Agro Bank termasuk penilaian tapak oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengacara, Wan Kamarudin Wan Ismail menemukan bakal pengusaha burung walet dengan pegawai Agro Bank cawangan di sana.

Bagi memberi maklumat tambahan serta panduan kepada orang ramai ingin menceburi bidang ini dan memastikan pelaburan berjaya, Talian Hayat juga menemubual pakar penternakan burung walet.

Sarang burung mungkin produk tempatan yang mempunyai nilai perubatan sangat tinggi. Dari segi kepentingan nilai perubatan tradisi, sarang burung berada pada tahap kedua selain ginseng.

Sarang burung berupaya menjadi pemangkin pertumbuhan sel dan kulit. Penggunaan sarang burung secara jangka panjang mampu mencantikkan kulit.

Sarang burung juga memberi manfaat kepada golongan tua dan lemah untuk mengukuhkan daya ketahanan tubuh terhadap penyakit. Sarang burung berfungsi untuk meningkatkan kesihatan paru-paru, buah pinggang, perut dan ginjal.

No comments:

Post a Comment