Wednesday, April 18, 2012

Tabung Haji meterai Ikrar Integriti Korporat

KUALA LUMPUR 13 April - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) komited mewujudkan organisasi yang telus dan terhindar daripada gejala rasuah melalui pemeteraian Ikrar Integriti Korporat hari ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nasir berkata, pemeteraian itu sekali gus dapat mengukuhkan akauntabiliti dan tadbir urusnya.

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm
Published: 14 April 2012

''Ini bukan bermakna sebelum ini kita tidak mempunyai integriti tetapi penyertaan dalam ikrar ini akan menyerapkan perasaan integriti dan menjadikannya amalan bagi setiap warga Tabung Haji,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh di sini hari ini.

Abi Musa Asaari juga yakin melalui pemeteraian itu Tabung Haji tidak akan terbabit dalam sebarang dakwaan rasuah yang sering dilemparkan oleh pihak tertentu.

''Kalau kita buat seperti dirancang dengan SPRM, perkara yang orang dakwa itu kita boleh jauhkan kerana cara kerja kita lebih telus, ikut peraturan dan penuh integriti,'' katanya.

Katanya, Tabung Haji merupakan syarikat pelaburan milik kerajaan pertama memberi komitmen untuk menyertai ikrar tersebut dan turut melibatkan anak-anak syarikat serta syarikat yang mempunyai hubungan dengan organisasi tersebut.

Beliau berkata, sejajar dengan pemeteraian itu, Tabung Haji turut melancarkan e-Aduan Rasuah melalui laman webnya www.tabunghaji.gov.my.

''e-Aduan Rasuah merupakan landasan mudah untuk orang awam ataupun kakitangan Tabung Haji membuat aduan mengenai rasuah dan salah guna kuasa dengan maklumat pengadu dilindungi,'' katanya.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama penuh daripada Tabung Haji berhubung aduan melibatkan kakitangannya.

''SPRM dapat kenal pasti mereka yang telah melanggar etika dan undang-undang negara kerana kerjasama yang diberikan oleh pihak Tabung Haji,'' katanya.

No comments:

Post a Comment