Wednesday, April 25, 2012

Bank Pembangunan raih RM618j

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BankPembangunanraihRM618j/Article/index_html

Published: 24 April 2012
Oleh Shahrizan Salian

BANK Pembangunan Malaysia Bhd meraih keuntungan sebelum cukai RM618 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, meningkat 23 peratus daripada RM503 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih yang diraihnya pula meningkat 20 peratus kepada RM462 juta daripada tahun sebelumnya.
Pendapatan faedah bersih kumpulan meningkat sebanyak RM23 juta daripada RM641 juta pada 2010 kepada RM664 juta bagi tahun kewangan dikaji.
Ia disumbangkan oleh pendapatan lebih tinggi daripada pinjaman dan pendahuluan daripada pertumbuhan pinjaman kasar yang berkembang enam peratus, kebanyakannya menerusi agihan pinjaman kepada projek infrastruktur yang berjumlah RM2.9 bilion.

Daripada jumlah itu, RM2.2 bilion adalah untuk projek sokongan kerajaan, manakala RM306.2 juta adalah bayaran kemajuan di bawah projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang memberi tumpuan kepada sub sektor pendidikan membabitkan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan Bank Pembangunan, Datuk Zafer Hashim, berkata kumpulan akan terus menerajui pembangunan semua sektor yang diceburinya untuk tahun ini, khususnya membabitkan projek impak tinggi yang dikenal pasti di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau berkata, sektor minyak dan gas yang menjadi sebahagian sektor sasaran Bank Pembangunan di bawah industri maritim akan diberikan penekanan lebih menyeluruh tahun ini sejajar tumpuan khas kerajaan untuk memacu sektor itu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, pelaksanaan beberapa projek di bawah NKEA menyediakan peluang lebih luas kepada kumpulan untuk terus memenuhi peranannya seperti dimandatkan.

“Berikutan prestasi terpuji Bank Pembangunan tahun lalu serta komitmen kepada pembentukan nilai pemegang saham, dividen akhir 3.25 peratus yang bersamaan RM100 juta akan dicadangkan pada mesyuarat agung tahunan,” katanya dalam satu kenyataan yang di keluarkan di sini, semalam.

Dividen yang diumumkan itu mengekalkan jumlah sama dibayar oleh Bank Pembangunan dalam dua tahun kewangan sebelum ini.

Di peringkat kumpulan, keuntungan sebelum cukainya meningkat 12.8 peratus kepada RM619 juta daripada RM549 juta tahun lalu, meskipun berlaku penurunan pendapatan bersih sebanyak tujuh peratus kepada RM1.2 bilion tahun lalu memandangkan caj ‘overhead’ mencatatkan penurunan ketara daripada tahun sebelumnya.

Anak syarikatnya, Global Maritime Ventures Bhd terus dijejaskan oleh kelembapan global dalam industri perkapalan, yang menghasilkan pendapatan rendah sebanyak 34 peratus kepada RM102 juta daripada tahun kewangan sebelumnya. 

No comments:

Post a Comment