Thursday, May 17, 2012

BSN raih keuntungan RM361 juta

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BSNraihkeuntunganRM361juta/Article

Published: 17 May 2012
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Pertumbuhan pembiayaan kukuh dorong catat pendapatan RM1.457 bilion

BANK Simpanan Nasional (BSN) mencatatkan keuntungan bersih RM361 juta tahun lalu didorong oleh pertumbuhan pembiayaan yang kukuh.

Dalam tahun dikaji, ia meraih pendapatan berjumlah RM1.457 bilion, meningkat 12.6 peratus berbanding RM1.294 bilion pada 2010, sementara pendapatan bersihnya meningkat kepada RM1.032 bilion daripada RM968 juta.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning, berkata pembiayaan bank itu secara keseluruhannya berkembang 10.1 peratus tahun lalu, dengan pembiayaan peribadi terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan berkenaan.
Katanya, perniagaan pembiayaan peribadi bank itu berkembang 12.5 peratus, manakala pembiayaan perumahan dan kewangan mikro masing-masing meningkat 5.3 dan 18 peratus.

“Keputusan kewangan memberangsangkan yang dicatatkan BSN tahun lalu itu bukti kepada keberkesanan pelaksanaan strategi pertumbuhan organik dan model perniagaannya.

“Kebanyakan perancangan BSN yang menumpukan kepada menjadi sebuah organisasi menguntungkan, pada masa sama menyediakan perkhidmatan kepada semua, terutama di kawasan luar bandar sudah membuahkan hasil,” katanya dalam kenyataan bagi mengumumkan keputusan kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Adinan berkata, sejajar dengan mandatnya untuk menggalakkan tabiat menyimpan, BSN tahun lalu mencatatkan kadar peningkatan konsisten dalam jumlah depositnya apabila ia berkembang 9.4 peratus kepada RM19.585 bilion daripada RM17.908 bilion pada 2010.
Katanya, deposit runcit juga meningkat kepada RM10.445 bilion pada 2011 berbanding RM9.788 bilion pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh produk seperti GIRO, Sijil Simpanan Premium (SSP), BSN GIRO-i dan BSN Ahsan.

Bagi perbankan Islam, Adinan berkata, portfolio perniagaan itu meraih pendapatan RM618 juta tahun lalu, meningkat 18.2 peratus berbanding RM523 juta pada 2010.

Keuntungan selepas zakat perniagaan itu, katanya meningkat kepada RM190 juta daripada RM185 juta.

Sementara itu beliau menegaskan, aset utama BSN adalah penumpuan berterusan kepada penyediaan akses perbankan yang mudah dan sentiasa menjalinkan perhubungan rapat pelanggannya.

Setakat Mac lalu, BSN katanya, mempunyai rangkaian cawangan meluas dengan 390 cawangan, 962 mesin ATM dan 213 mesin deposit tunai (CDM).

BSN juga mempunyai 58 pusat mikro kewangan di seluruh negara dan empat cawangan sosial yang beroperasi di Belaga (Sarawak) serta Beluran, Kinabatangan dan Telupid (Sabah).

BSN juga, katanya giat dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan melancarkan projek sistem perbankan terasnya untuk memastikan ia lebih efektif serta meningkatkan lagi kepuasan pelanggan.

BSN yang mempunyai sejarah penubuhan sejak akhir abad ke-19 itu ditubuhkan dengan misi bagi menambah baik kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup rakyat Malaysia menerusi menggalakkan simpanan, pelaburan dan amalan pengurusan kewangan bijak.

No comments:

Post a Comment