Saturday, May 5, 2012

Untung suku pertama Bank Rakyat naik 16.4 peratus

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/untung-suku-pertama-bank-rakyat-naik-16-4-peratus-1.45428

Published: Monday May 04

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM515.4 juta, iaitu peningkatan sebanyak 16.4 peratus atau RM72.7 juta berbanding RM442.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan keuntungan itu secara amnya disumbang oleh peningkatan pendapatan daripada aktiviti pembiayaan dan pelaburan, selari dengan pertumbuhan baki pembiayaan dan penambahbaikan kepada kualiti aset, demikian menurut bank berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Pendapatan kasar meningkat sebanyak 14.9 peratus atau RM194.1 juta kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.3 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit naik 9.1 peratus atau RM69.8 juta kepada RM836.1 juta berbanding RM766.4 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Baki bersih pembiayaan konsumer Bank Rakyat meningkat 8.6 peratus atau RM3.60 bilion kepada RM45.38 bilion pada suku pertama 2012 berbanding RM41.79 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pembiayaan konsumer merupakan fokus utama perniagaan bank yang menyumbang sebanyak 90.8 peratus daripada keseluruhan pembiayaan Bank Rakyat pada suku pertama 2012.

Dari segi portfolio pembiayaan, pembiayaan peribadi kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu sebanyak 85.3 peratus daripada keseluruhan pembiayaan konsumer.

Sementara itu, jumlah aset Bank Rakyat meningkat sebanyak 20.9 peratus atau RM13.47 bilion kepada RM78.03 bilion berbanding RM64.56 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sehingga akhir Mac 2012, pulangan atas aset kekal kukuh pada kadar 2.9 peratus manakala dana pemegang saham naik sebanyak 37.3 peratus atau RM2.36 bilion kepada RM8.69 bilion pada akhir Mac 2012 berbanding RM6.33 bilion pada bulan yang sama tahun lalu hasil sumbangan penambahan untung bersih dan penambahan modal syer berbayar.

Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR) bank kekal pada kadar 16.5 peratus manakala Nisbah Modal Teras (CCR) pada kadar 15.4 peratus.

Sementara itu, liputan atas kerugian pembiayaan kekal tinggi pada kadar 105.8 peratus. – Bernama

No comments:

Post a Comment