Monday, May 21, 2012

Tabung Haji labur aset pendapatan berulang

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TabungHajilaburasetpendapatanberulang/Article

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2012/05/21

pix_gal0
Syarikat kurang kebergantungan urus niaga saham

LEMBAGA Tabung Haji merancang untuk mengukuhkan lagi pelaburannya dalam aset yang memberikan pendapatan berulang bagi mengurangkan pergantungan kepada pendapatan daripada urus niaga di pasaran saham.
Pelaburan sedemikian termasuk dalam sektor perladangan, hartanah di dalam dan luar negara dan pegangan jangka panjang saham dalam syarikat yang menawarkan dividen tinggi.
 
Malah saya percaya untuk jangka panjang kumpulan perlu menumpukan kepada sektor hartanah kerana sektor ini mempunyai prospek yang amat baik pada masa depan. - Ismee Ismail. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Haji 
 
Agensi pengurusan dana Islam terbesar di dunia itu menyasarkan untuk mengurangkan sumbangan pendapatan daripada urus niaga saham kepada hanya 30 peratus berbanding sekitar 40 peratus hingga 60 peratus sekarang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail, berkata, kumpulan itu perlu menjadikan aset yang memberikan pendapatan berulang itu sumber pendapatan sumber utamanya pada masa depan sejajar usaha memberikan pulangan yang konsisten kepada pendepositnya.

Justeru, tegasnya, sasaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan daripada urus niaga saham kepada hanya 30 peratus itu adalah sesuatu yang munasabah dalam tempoh jangka panjang.

“Apa yang saya maksudkan 30 peratus ini adalah hasil kita berurus niaga di bursa saham. Namun bagi meraih pendapatan lebih stabil pada masa depan kami akan memfokus kepada hasil daripada pelaburan dalam syarikat yang memberikan dividen tinggi atau di kaunter mewah.
“Malah saya percaya untuk jangka panjang kumpulan perlu menumpukan kepada sektor hartanah kerana sektor ini mempunyai prospek yang amat baik pada masa depan,” katanya dalam temubual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tabung Haji kini memiliki 6.9 juta pendeposit dengan jumlah deposit setakat tahun lalu sebanyak RM31.7 bilion.

Mengulas berhubung tender penerbangan haji untuk tempoh akan datang, beliau berkata, Tabung Haji akan memuktamadkan dan mengumumkannya awal bulan depan.

Katanya, pihaknya memperoleh bidaan kontrak itu bukan saja daripada syarikat penerbangan tempatan, malah daripada syarikat penerbangan luar negara.

“Saya tidak dapat pastikan sejauh mana pembabitan syarikat penerbangan luar negara ini dalam bidaan kali ini, jadi kita akan tunggu hingga keputusan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment