Wednesday, May 16, 2012

Malakoff dapat biaya RM276.79j

Source From (Berita Harian): Malakoff dapat biaya RM276.79j

Oleh Suffian A Bakar
2012/05/15

MALAKOFF Corporation Bhd, memperoleh kemudahan pembiayaan berjumlah AS$90 juta (RM276.79 juta) daripada Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) dan Mizuho Corporate Bank, iaitu bank ketiga terbesar di Jepun. Ketua Eksekutifnya, Zainal Abidin Jalil, berkata kemudahan itu adalah untuk membiayai pengambilalihan 40 peratus kepentingan tidak langsung dalam pengendali loji jana kuasa bebas dan loji pemprosesan air terbesar di Bahrain, Hidd Power Company BSC (HPC) oleh Malakoff Corporation.

“Pembiayaan dibahagikan kepada dua fasa iaitu AS$45 juta setiap satu untuk tempoh lima tahun itu, akan mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pengeluar tenaga dan air minuman bersih di rantau itu,” katanya pada majlis pemeteraian pembiayaan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi EXIM Bank, Datuk Mohd Hashim Hassan; Pengerusi Malakoff Corporation, Datuk Syed Abdul Jabbar Syed Hassan; Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif EXIM Bank, Datuk Adissadikin Ali dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif Mizuho Bank, Hiroyuki Yoshinari.

Zainal Abidin berkata, kemudahan pembiayaan bertempoh itu akan disalurkan kepada anak syarikat Malakoff Corporation, Malakoff International Ltd.
Jumaat lalu, MMC Corporation Bhd, mengumumkan bahawa Malakoff Corporation, iaitu anak syarikat 51 peratusnya mengambilalih 100 peratus kepentingan IP Middle East Holding Company Ltd (IPME) daripada International Power Holdings Ltd (IPR).

Pengambilalihan itu menyaksikan Malakoff Corporation menguasai kepentingan tidak langsung sebanyak 40 peratus dalam HPC, pemilik dan pengendali loji jana kuasa dan pemprosesan air di Bahrain itu.

Baki kepentingan HPC dikuasai IPR-GDF Suez dan Sumitomo Corporation, masing-masing sebanyak 30 peratus.

Zainal Abidin berkata, loji jana kuasa itu berkeupayaan menghasilkan 929 Megawatt tenaga elektrik, membekal kepada kira-kira 39 peratus bekalan elektrik Bahrain, manakala loji pemprosesan air itu pula berkeupayaan memproses 90 juta gelen air sehari, membekal 62 peratus bekalan air minuman negara itu.

Katanya, selain Asia Barat, Malakoff Corporation juga meninjau peluang perniagaan di Asia Tenggara. Bagaimanapun, katanya, ia masih lagi di peringkat awal.

Mengenai penyenaraian semula Malakoff Corporation, beliau berkata, MMC Corporation belum lagi menentukan bank mana yang akan dilantik sebagai penasihat dan penaja jamin cadangan penyenaraian semula itu.

Laporan sebelum ini menyebut proses melantik penasihat ekuiti dan penaja jamin sudah pun dimulakan.

Malakoff Corporation adalah pengeluar tenaga bebas terbesar negara dengan keupayaan menjana 5,020 Megawatt tenaga elektrik menerusi enam stesen jana kuasanya.

No comments:

Post a Comment