Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: Monday May 14
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Radzif Mohd Yunus berkata, kadar NPL institusi perbankan pembangunan (DFI) itu pada masa ini adalah 18 peratus berbanding 28 peratus sebelum ini.
‘‘NPL yang kami tanggung ini merupakan hutang legasi yang dipikul daripada operasi Bank Industri sebelum ini.
‘‘Kami kini dalam proses meningkatkan kapasiti, mencergas dan memulihkan NPL supaya ia berada dalam kadar industri sebanyak dua peratus,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Dalam proses itu, Mohd Radzif mengakui Bank SME perlu berhati-hati dan berhemah dalam memberi kelulusan terutama membabitkan sektor pembuatan dan perkhidmatan.
‘‘Saya akui kedua-dua sektor itu giat diliberalisasikan tetapi itulah menjadi kebimbangan kami kerana ia mewujudkan persaingan yang banyak,’’ tambah beliau.
Beliau berkata, tidak dinafikan usahawan PKS tempatan khususnya bumiputera mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk tetapi mereka tidak berupaya untuk akses kepada pasaran.
Jelasnya, masalah itu mengakibatkan usahawan PKS tidak mempunyai pasaran kerana tidak berupaya untuk bersaing.
‘‘Usahawan PKS tidak boleh bergantung kepada bantuan kewangan untuk akses kepada pasaran tetapi ia memerlukan bantuan pasaran meraih lebih banyak kewangan.
‘‘Apabila kesukaran itu berlaku, ia akan menimbulkan kesukaran untuk membuat pembayaran semula.
‘‘Oleh yang demikian, kami memberi keutamaan kepada pemohon yang mempunyai amalan (membayar hutang) yang baik, selain melantik badan bebas bagi bersama-sama membuat penilaian sebelum memberi kelulusan,’’ ujar beliau.
Tambah beliau, pada masa yang sama, usahawan yang membuat pinjaman di DFI juga mesti bersedia mengubah mentaliti.
‘‘Tidak boleh lagi beranggapan kalau duit kerajaan tidak payah bayar, sebab itu NPL tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment