Monday, May 28, 2012

BSN tumpu khidmat baru PTC

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BSNtumpukhidmatbaruPTC/Article/index_html

Published: Friday May 28, 2012

BAGI mendekati lagi masyarakat dan komuniti, Bank Simpanan Nasional (BSN) komited memperkenalkan perkhidmatan barunya, Perbankan Tanpa Cawangan (PTC) untuk kemudahan pelanggan terutama mereka yang berada di kawasan pedalaman dan didapati sukar untuk ke bank untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan.
Ikuti temu bual eksklusif wartawan Bisnes Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri bersama Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti BSN, Azaddin Ngah Tasir mengenai saluran baru yang diperkenalkan itu.


APAKAH yang dimaksudkan dengan Perbankan Tanpa Cawangan (PTC)?


PTC adalah saluran baru serta inovatif khas untuk pelanggan mendekati dan mengakses perkhidmatan kewangan. Transaksi perbankan boleh dilakukan ejen yang diberi kuasa pihak bank untuk menawarkan kemudahan kepada pelanggan terutama sekali khusus di kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan bank.

Sejak PTC diperkenalkan awal Januari lalu, BSN sudah pun mempunyai 1,014 ejen yang diberi kuasa untuk menawarkan kemudahan kepada pelanggan terutama di kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan perbankan.


Bagaimanakah PTC ini beroperasi dan apakah antara jenis perkhidmatan yang disediakan?

Setiap transaksi dijalankan di premis ejen dengan menggunakan alat Point of Sale (POS) yang dilengkapi dengan pautan ke rangkaian telekomunikasi tanpa wayar GPRS dan untuk memulakan transaksi, pelanggan perlu mengesahkan nombor pengenalan peribadi (Pin) dan pengesahan biometrik.

Resit akan dikeluarkan untuk mengesahkan status sesuatu transaksi yang dijalankan dan antara perkhidmatan yang disediakan di peringkat permulaan adalah perkhidmatan deposit, pengeluaran, pembayaran bil, pembelian Sijil Premium (eSSP) dan pembayaran tanpa tunai. Masa perkhidmatan adalah dari jam 8 pagi hingga 10 malam.


Apakah manfaat yang diperoleh orang ramai daripada perkhidmatan ini?

Terdapat pelbagai kelebihan yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan ini, antaranya menjimatkan kos dan masa kerana ejen beroperasi di kedai yang berdekatan dengan kediaman pelanggan seperti kedai runcit, kedai ejen telekomunikasi dan lain-lain.

Selain itu, aksesnya yang mudah untuk orang ramai dan waktu operasi yang fleksibel dan lebih panjang serta pelanggan tidak dikenakan sebarang caj semasa membuat transaksi yang ditawarkan.


Apakah perancangan masa depan BSN bagi memantapkan lagi PTC ini?

Sasaran bagi BSN adalah untuk mempunyai 5,000 ejen dalam masa tiga tahun bagi mencapai lebih ramai pelanggan di seluruh negara. Malah, BSN akan menambah lagi perkhidmatan sedia ada seperti pemindahan dana antara bank, penambahan nilai prabayar, pembayaran bil bagi bukan pelanggan BSN, pengeluaran untuk pelanggan MEPS, penyata mini dan pembiayaan pinjaman.


Bagaimanakah BSN memilih ejen PTC dan apakah kriterianya?

Terdapat beberapa kriteria bagi memilih ejen dan secara amnya mereka perlulah mempunyai perniagaan yang beroperasi dengan baik untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 12 bulan dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Selain itu, mereka perlu membuka akaun dengan BSN di bawah entiti perniagaan ejen dan mempunyai bangunan atau infrastruktur yang sesuai berserta alamat lengkap iaitu hendaklah berada pada jarak sekurang-kurangnya lima kilometer (km) dari cawangan terdekat BSN.

Manakala jarak antara setiap ejen yang dilantik sekurang-kurangnya 10km antara satu sama lain dan berada di dalam liputan GPRS atau rangkaian telekomunikasi yang bersesuaian. Jenis perniagaan yang layak adalah perseorangan, perkongsian, Sdn Bhd dan Berhad.


Apakah langkah keselamatan yang perlu diambil oleh pelanggan untuk memastikan keselamatan urusan perbankan mereka?

Pastikan pelanggan hadir ke lokasi ejen yang sah iaitu yang mempunyai papan tanda BSN dan sijil pengesahan ejen dan pastikan transaksi hanya dilakukan dalam premis ejen PTC BSN serta tidak melakukan transaksi di ejen bergerak atau yang tidak mempunyai papan tanda kedai.

Selain itu, jangan sesekali memaklumkan atau menzahirkan baki akaun dan nombor pin akaun kepada ejen atau pihak ketiga serta pastikan pelanggan mendapat salinan resit, menyemak resit sebelum meninggal premis ejen dan tanda tangan salinan resit ejen PTC BSN.


Di manakah pelanggan BSN boleh mendapatkan perkhidmatan ini?

Pelanggan BSN boleh mendapatkan perkhidmatan di premis yang dilantik oleh BSN dan ejen yang dilantik juga perlu menggunakan papan tanda Ejen Berdaftar bersama logo BSN untuk tujuan pengenalan. Senarai ejen turut disiarkan di akhbar utama dan boleh juga melayari laman web www.mybsn.com.my.

No comments:

Post a Comment