Monday, May 28, 2012

Duit kerajaan perlu dibayar - SME Bank

KUALA LUMPUR 27 Mei - Mentaliti tidak perlu membayar hutang dengan institusi pembangunan kewangan (DFI) tempatan kerana wang yang dipinjam adalah milik kerajaan menjadi punca utama entiti-entiti berkenaan dibelenggu hutang besar.

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: Friday May 27, 2012



Pengarah Urusan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (M) Bhd. (SME Bank), Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, kegagalan individu dan syarikat melunaskan hutang-hutang hanya akan menyebabkan sesebuah entiti kewangan hilang keupayaan.

‘‘Apabila hilang keupayaan, entiti-entiti kewangan seperti DFI, termasuk SME Bank, tidak mampu memainkan peranan membantu usahawan-usahawan.
‘‘Oleh sebab itu, tidak kira individu atau syarikat-syarikat yang berhutang dengan DFI mesti mengubah mentaliti bahawa duit kerajaan tidak perlu dibayar,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Justeru, Mohd. Razif meminta individu dan syarikat-syarikat yang masih gagal membayar hutang supaya melunaskan tanggungjawab masing-masing.

Tegas beliau, amalan yang tidak sihat itu (tidak mahu membayar hutang) akan hanya menjejaskan peluang individu dan syarikat lain yang betul-betul mahu berniaga.
Mohd. Radzif berkata, seperti SME Bank, ia bukan bank komersial yang memiliki pelbagai produk dan perkhidmatan, sebaliknya ia menawarkan peranan dan perkhidmatan tertentu sahaja.
‘‘Kami tidak mempunyai dana lindung nilai, sebab itu kedudukan kewangan kami perlu kukuh.
‘‘Apabila kukuh, barulah SME Bank mampu menawarkan lebih banyak dana kepada para usahawan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara,’’ katanya.
SME Bank kini menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) pada kadar 18 peratus berbanding 28 peratus sebelum ini, hutang legasi Bank Industri.

Dalam pada itu, Mohd. Radzif berkata, SME Bank yang merancang untuk meraih sejumlah RM3 bilion dalam tempoh tiga tahun melalui terbitan sukuk akan digunakan untuk pinjaman pasaran.
Menurutnya, SME Bank akan memberi fokus kepada sektor minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pendidikan, pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.
Mohd. Radzif menambah, walaupun SME Bank menerima dana dan geran daripada kerajaan, terbitan sukuk itu bertujuan untuk mengekalkan prestasi semasanya secara dalaman.

No comments:

Post a Comment