Friday, August 3, 2012

10 pajak gadai Ar-Rahnu selatan akan dibina

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20120803/ko_02/10-pajak-gadai-Ar-Rahnu-selatan-akan-dibina

Published: August 03, 2012

JOHOR BAHRU 2 Ogos - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) merancang untuk membuka 10 buah kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahnu di wilayah selatan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Kini hanya terdapat tiga cawangan Ar-Rahnu yang beroperasi di wilayah selatan iaitu di Muar dan Ulu Tiram, Johor dan Melaka Central di Melaka.

Ketua Bank Rakyat Wilayah Selatan, Abdul Lidzam Muhamad Alias berkata, tiga daripada 10 premis itu iaitu di Sungai Udang, Melaka; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Pagoh, Johor dijangka dibuka tahun ini.

"Kita sedang merancang untuk memperluaskan lagi pelaburan pajak gadai Islam Ar-Rahnu di wilayah selatan dengan kos RM200,000 sejajar usaha syarikat untuk mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang tersebut.

"Hasil maklum balas daripada tiga kedai Ar-Rahnu yang sudah beroperasi amat menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Zakat kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Terdahulu, pada majlis itu, Abdul Lidzam turut menyampaikan wang zakat berjumlah RM37,700 kepada Pengetua SMK Bandar Baru Uda, Siti Raudah Moh untuk diagihkan kepada 377 pelajar terpilih di sekolah tersebut.

"Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk zakat perniagaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM15 juta akan diagihkan kepada golongan asnaf seluruh negara," katanya.

No comments:

Post a Comment