Monday, August 13, 2012

Tabung Haji agih zakat RM1.3 juta kepada 2,600 asnaf seluruh negara

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/nasional/tabung-haji-agih-zakat-rm1-3-juta-kepada-2-600-asnaf-seluruh-negara-1.76291

Published: August 13, 2012

PETALING JAYA - Lembaga Tabung Haji menyasarkan agihan zakat berjumlah RM1.3 juta kepada lebih 2,600 orang golongan asnaf di seluruh negara sempena bulan Ramadan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail berkata Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutamanya dalam soal pembayaran zakat ke setiap negeri.

"Program tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan oleh Tabung Haji juga memperlihatkan sifat prihatin dan tanggungjawab terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf," kata beliau pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri kepada 500 orang golongan asnaf di sini, hari ini.

Penerima sumbangan pada hari ini terdiri daripada orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal yang dijemput khas dari sembilan daerah di Selangor.

Selain diraikan dalam majlis berbuka puasa, mereka turut menerima sumbangan wang tunai RM500 seorang.

Majlis ini adalah anjuran terbesar bagi tahun 1433H dan merupakan antara siri program Ihya Ramadan yang dianjurkan Tabung Haji di seluruh negara.

Sebelum ini, Tabung Haji menganjurkan majlis pengagihan zakat kepada golongan asnaf di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kelantan dan Sabah.

Pada awal tahun ini juga, Tabung Haji membayar zakat berjumlah RM10 juta kepada pusat zakat Selangor.

Selain program Ramadan, Tabung Haji turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang lain untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti Islam setempat khususnya golongan asnaf seperti program pembinaan rumah, kesihatan serta pendidikan di setiap negeri di seluruh Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment