Sunday, August 12, 2012

Tingkat pengurusan risiko

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120811/ek_03/Tingkat-pengurusan-risiko

Published: August 12, 2012
Oleh NORAILLI ABD. RAHMAN
bisnes.utusan@g.mail.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Exim Bank Malaysia Bhd. (Exim Bank) menandatangani Perjanjian Bantuan Teknikal (TA) dengan Bank Pembanguan Asia (ADB) bagi membolehkan ia meningkatkan kapasiti setaraf amalan antarabangsa terutama dalam bidang pengurusan risiko dan analisis risiko projek.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adissadikin Ali, Exim Bank bakal mendapat bantuan teknikal daripada ADB yang mempunyai kepakaran dalam membuat pernilaian pembiayaan selain keupayaan memahami risiko-risiko pasaran.

"Kami menyediakan pembiayaan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai projek di rantau Asia.

"Namun disebabkan faktor risiko pasaran dan kredit berikutan perbezaan undang-undang dan sebagainya, kami memerlukan ADB yang lebih berpengalaman di rantau ini untuk memberi bimbingan kepada kami," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Perjanjian yang berlangsung selama setahun itu adalah permintaan kerajaan Malaysia dan merupakan salah satu kerjasama dengan ADB di bawah Strategi Kerjasama Interim Negara (ICPS) yang dimeterai pada 2011.

Menurut Adissadikin, selain bantuan teknikal, banyak yang boleh diterokai menerusi kerjasama dengan ADB terutama dalam sektor pembinaan infrastruktur di negara-negara kurang membangun di rantau ini.

"ADB akan membiayai negara-negara yang mahu melaksanakan projek pembangunan dan pada kebiasaannya projek-projek tersebut akan ditender secara terbuka, di sinilah kontraktor-kontraktor Malaysia mempunyai peluang untuk menyertai projek-projek tersebut.

"Exim Bank pula akan memberi pembiayaan kepada kontraktor tempatan yang telah mendapat projek tersebut, jadi kita tidak perlu pergi jauh sebaliknya kita perlu mengambil peluang ini terutama apabila kita lebih memahami sistem perundangan, ekonomi dan cara mereka bekerja," kata Adissadikin lagi.

Tambah beliau, pasukan Exim Bank sedang berurusan dengan kontraktor-kontraktor tempatan yang terlibat dengan projek-projek di rantau ini terutama di bawah Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Beliau menjangkakan projek-projek tersebut akan direalisasikan dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurut Prinsipal Malaysia, Brunei dan Singapura, ADB, Jin W. Chyn yang hadir mewakili bank tersebut memeterai TA, terdapat permintaan yang bernilai kira-kira AS$700 bilion (RM21. trilion) hingga AS$750 bilion (RM22.5 bilion) terhadap pasaran pembinaan di peringkat serantau terutama dalam bidang infrastruktur.

No comments:

Post a Comment