IPOH 13 Jan. - Para pemohon Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) boleh membuat pinjaman perumahan melalui empat institusi kewangan bank perdagangan iaitu CIMB, Bank Islam, Maybank dan Bank Rakyat mulai tahun ini.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130114/ek_03/Pemohon-boleh-pinjam-bank
Published: January 14, 2013
RUMAH Mesra Rakyat oleh SPNB ditawarkan kepada mereka
yang mempunyai tanah dan berpendapatan rendah.
Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata, proses permohonan skim tersebut berbeza apabila syarat permohonan pinjaman ditentukan oleh SPNB dan institusi kewangan yang dipohon.
"Pihak bank bersama SPNB menentukan kelayakan hakiki dari pemohon. Sejarah pengurusan kewangan peribadi pemohon mestilah lebih baik berbanding sebelum ini ketika SPNB mengurus secara sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis mesra rakyat SPNB di sini semalam.
Katanya, pemohon yang disenarai hitam oleh CTOS atau Credit Tip-Off Service Sdn. Bhd. dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak layak menerima pinjaman.
"Bank boleh beri kelulusan kepada pemohon yang tiada masalah CTOS atau CCRIS kerana bank pemberi pinjaman melanggar dasar Bank Negara jika memberi pinjaman kepada mereka yang tersenarai di dalam sistem itu," katanya.
Beliau berkata, proses permohonan tidak sukar tetapi ia adalah lebih teliti berbanding sebelum ini.
"Proses kali ini bukan lebih sukar tetapi ia hanya lebih cerewet daripada SPNB," katanya.
Idris berkata, SPNB masih menggunakan kaedah IBS dengan mengekalkan keluasan 1,000 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air.
"Syarat kelayakan pemohon rumah tersebut masih seperti sebelum ini yang mana pemohon mestilah memiliki tanah, ada tanggungan dan pendapatan mestilah tidak melebihi RM3,000," katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini, SPNB akan membina 11,800 RMR yang akan bermula di Tambun.
"Pemohon skim rumah tersebut berjumlah 34,678 sejak tahun lepas. Perak adalah antara negeri yang tertinggi (pembinaan RMR) iaitu 1,959 unit rumah sudah siap sejak 2002, yang dibina di 26 kawasan Parlimen negeri ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment