KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat)
mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi sembilan bulan pertama
berakhir 30 September 2012 dengan meraih keuntungan sebelum cukai dan
zakat RM1.62 bilion, meningkat 8.1 peratus berbanding RM1.5 bilion bagi
tempoh sama tahun lalu.
Source from (Sinar Online):
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bank-rakyat-untung-rm1-62-bilion-dalam-9-bulan-1.99898
Published: November 02, 2012
Bank Rakyat
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaacob berkata bank itu turut merekodkan keuntungan bersih
lebih tinggi sebanyak RM1.33 bilion berbanding RM1.20 bilion pada tempoh
yang sama tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 10.5 peratus.
"Dari segi prestasi kewangan, Bank Rakyat terus mencatatkan
perkembangan positif dengan peningkatan keuntungan sebelum cukai,
keuntungan bersih dan pendapatan kasarnya iaitu RM30.9 bilion sehingga
31 Sept tahun ini.
"Dengan prestasi kewangan yang memberangsangkan dan pengiktirafan yang
diterima seperti Anugerah Bank Islam Paling Menguntungkan dan Anugerah
Perbankan Runcit Islam Paling Cemerlang, Bank Rakyat diharap terus
menjadi perbankan Islam terbesar di Malaysia dan ke-12 terbaik di
dunia," katanya selepas Majlis Penyerahan 20 Buah Van Jenazah dan dua
Buah Van Pengangkutan di sini Khamis.
Pada majlis itu, 20 buah van jenazah disumbangkan kepada masjid di
Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Johor, Negeri
Sembilan dan Perak , manakala dua buah van pengangkutan diserahkan
kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing, Johor dan
Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyah, Pahang, yang keseluruhannya
bernilai lebih RM1.7 juta.
Bagi tahun ini, 41 van jenazah yang keseluruhannya bernilai RM3.2 juta
akan disumbangkan Bank Rakyat ke seluruh negara termasuk Sabah dan
Sarawak.
Ismail Sabri berkata, sebagai satu bank koperasi terbesar yang berjaya
melaksanakan aktiviti perbankan syariahnya, bank itu terus komited
melaksanakan tanggung jawab sosial korporatnya dengan memperuntukkan
zakat perniagaan bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
"Bagi 2011, lebih RM40.6 juta zakat perniagaan telah diperuntukkan Bank
Rakyat, yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam di seluruh negara
bagi memenuhi keperluan golongan Asnaf," katanya.
Bank Rakyat yang ditubuhkan sejak Sept 1954 kini mempunyai 136 cawangan
dengan lebih 600 mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai
(CDM) serta 46 Ar-Rahnu X' Change di seluruh negara. - Bernama
No comments:
Post a Comment