Thursday, November 8, 2012

Tabung Haji agih zakat pendidikan RM1.15 juta

KOTA BHARU 7 Nov. - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM1.15 juta kepada 2,300 orang pelajar di seluruh negara tahun ini. Timbalan Pengarah TH Negeri Kelantan, Muhamad Zaki Baijuri berkata, program pengagihan zakat itu yang bermula di negeri Johor pada pertengahan Oktober lalu akan dilaksanakan di seluruh negara dan dijangkakan selesai sebelum tamat sesi persekolahan 2012.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121108/wt_02/Tabung-Haji-agih-zakat-pendidikan-RM115-juta
Published: November 08, 2012

Muhamad Zaki Baijuri (kiri) menyampaikan zakat pendidikan dalam Majlis 
Penyampaian Sumbangan Pendidikan TH 2012 Peringkat Negeri Kelantan di 
SMK Tanjong Chat, Kota Bharu, semalam.

Katanya, pihaknya memperuntukkan agihan zakat pendidikan sebanyak RM845,000 bagi negeri ini.
"Diharapkan sumbangan itu dapat memberi dorongan serta menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk ke sekolah.

"Sumbangan itu sekali gus meringankan tanggungan kewangan keluarga mereka dalam membuat persiapan untuk sesi persekolahan tahun depan," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan TH 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Chat dekat sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 200 pelajar daripada 20 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Kota Bharu terpilih menerima sumbangan berjumlah RM100,000.
Setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM500 berupa kelengkapan persekolahan bernilai RM200 dan wang tunai RM300.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, pada tahun ini TH turut merancang melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat sebagai tanda keprihatinan kepada komuniti Islam yang memerlukan bantuan.

Tambahnya, antara projek yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan ialah projek pendidikan, ihsan, bumbung dan kesihatan bagi golongan miskin.

"Projek ihsan merangkumi agihan zakat kepada golongan asnaf warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal yang dilaksanakan pada bulan Ramadan, manakala projek bumbung ialah agihan zakat untuk membina rumah.

"Bagi projek kesihatan pula, ia merupakan pembelian dan sumbangan mesin hemodialisis di hospital-hospital kerajaan untuk manfaat pesakit buah pinggang yang bergantung kepada rawatan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment