Friday, November 2, 2012

Teraju tingkat keupayaan syarikat Bumiputera (SME Bank)

KUALA LUMPUR - Peranan Unit Teraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi pemantau kepada sistem vendor syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), dilihat meningkatkan lagi keupayaan syarikat Bumiputera.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/teraju-tingkat-keupayaan-syarikat-bumiputera-1.99992
Published: November 02, 2012

Rahim Thamby Chik
                   Rahim

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, dengan adanya peranan dan inisiatif sistem vendor oleh Teraju memastikan GLC yang menjalankan sistem tersebut lebih berkemahiran.

Beliau berkata, dahulunya GLC tiada badan pemantau dan melaksanakan sistem vendor mengikut langkah masing-masing.

“Menerusi langkah tersebut, semua agensi yang terlibat dengan pelaksanaan sistem ini akan mempunyai akauntabiliti kepada Teraju.

“Sistem vendor di bawah GLC akan dipantau Teraju dan ini perkembangan strategik yang penting dalam mencapai kejayaan tertinggi bagi vendor terpilih serta dilatih,” katanya.

Menurutnya, perlu bagi Teraju menggalakkan GLC yang mengeluarkan “out source” dengan memberikan keutamaan kepada Bumiputera.

Katanya, dengan adanya dasar sedemikian, memberikan lebih peluang kepada Bumiputera meluaskan pasaran.

Selain itu, Rahim berkata, keperluan bagi Teraju mewujudkan indeks prestasi utama (KPI) dengan bertindak sebagai pemantau kepada syarikat Bumiputera sedia ada.

“Langkah ini bagi mengenal pasti syarikat yang berjaya, mempunyai rekod baik dan berwibawa untuk diberikan peluang berkembang,” katanya.

Beliau berkata, langkah Bank SME menyediakan dana kepada syarikat Bumiputera juga memberikan kesan memberangsangkan kerana dalam tempoh tiga bulan, RM250 juta telah dipohon oleh syarikat Bumiputera.

“Mereka memenuhi kriteria dan ini menunjukkan perkembangan yang positif. Sebelum ini sukar syarikat Bumiputera untuk memenuhi kelayakan,” katanya.

Malah katanya, perkembangan ini juga menggalakkan bank-bank tempatan mengubah persepsi terhadap syarikat Bumiputera.

Rahim turut mencadangkan kepada Teraju penubuhan sebuah yayasan bagi memajukan tanah terbiar yang berpotensi dan strategik untuk dibangunkan.

Menurutnya, dengan langkah tersebut membantu pemilik tanah yang tidak berkemampuan membangunkan tanah dalam pelbagai sektor yang sesuai dengan pasaran.

No comments:

Post a Comment