Wednesday, November 7, 2012

TERAJU minta tambah Dana TeraS

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan meminta kerajaan menambah dana bagi Program Pembiayaan TeraS berikutan sambutan menggalakkan terhadap dana itu sejak ia dilancarkan Ogos lalu. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TERAJUmintatambahDanaTeraS/Article
Published: November 07, 2012

Nor Mohamed   menyaksikan  pertukaran  dokumen    antara   Mohd Radzif   (kiri) dan   Husni, di  Kuala Lumpur., semalam.  
Nor Mohamed menyaksikan pertukaran dokumen antara 
Mohd Radzif (kiri) dan Husni, di Kuala Lumpur., semalam.

Ketua Eksekutifnya, Husni Salleh, berkata pihaknya berkemungkinan besar memohon dana tambahan itu jika peruntukan sedia ada yang berjumlah RM500 juta habis dalam tempoh terdekat ini.
“Perkara itu sedang dalam perbincangan,” katanya pada sidang media selepas memeterai secara rasmi perjanjian antara Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank) dan TERAJU di Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah perjanjian berkenaan, SME Bank dan TERAJU membentuk kerjasama untuk menguruskan dana yang dipanggil Dana TeraS itu.

Tingkat penyertaan
Mengikut perjanjian itu SME Bank akan menilai permohonan dan menyalurkan pembiayaan di bawah dana itu yang dikemukakan oleh syarikat yang disenaraikan di bawah Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS).

Program TeraS, yang dilancarkan kerajaan tahun lalu bermatlamat meningkatkan penyertaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera tempatan dalam ekonomi.
TERAJU yang dipertanggungjawabkan menguruskan TeraS, menyasarkan membangunkan 1,100 syarikat Bumiputera di bawah program berkenaan. Setakat ini, ia sudah memilih 120 syarikat.

Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, berkata sejak permohonan Dana Teras dibuka Ogos lalu, bank itu telah meluluskan 16 permohonan daripada syarikat TeraS membabitkan pembiayaan berjumlah RM190 juta.

Katanya, SME Bank juga sedang menilai 29 permohonan lagi membabitkan pembiayaan berjumlah RM470 juta.

“Daripada 120 syarikat yang disenaraikan di bawah program TeraS setakat ini, tidak semua yang memerlukan pembiayaan, maka buat masa ini jumlah dana yang diperuntukkan adalah mencukupi,” katanya.

Daripada RM500 juta yang diperuntukkan bagi Dana TeraS itu, sebanyak RM150 juta dikhususkan untuk pinjaman bagi membiayai modal kerja, yang mana sesebuah syarikat boleh meminjam antara RM1 juta hingga RM10 juta.

Perkhimatan sokongan
Sebanyak RM350 lagi diperuntukkan bagi membiayai pembelian aset yang membolehkan sesebuah syarikat memohon pinjaman sehingga RM20 juta.

Mohd Radzif berkata, antara faktor yang diambilkira oleh SME Bank dalam menilai sesuatu permohonan bagi dana itu ialah aliran tunai syarikat, peringkat pelaksanaan projek serta jenis pengembangan yang diperlukan.

Sementara itu, pada majlis semalam, SME Bank turut melancarkan Pusat pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR) yang berperanan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada usahawan.

CEDAR akan menjadi pusat rujukan untuk pembangunan dan transformasi usahawan
dengan menyediakan perkhidmatan seperti latihan, rundingan, pembangunan dan penyelidikan (R&D), seminar serta persidangan di samping menerbitkan bahan penyelidikan.

Pusat itu juga menyediakan sokongan kepada kakitangan institusi kewangan untuk membantu meningkatkan keupayaan usahawan tempatan.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain.

No comments:

Post a Comment