Wednesday, November 7, 2012

SME Bank, Teraju Bincang Kemungkinan Adakan Dana Tambahan Untuk Program Teras

KUALA LUMPUR, Nov 6 (Bernama) -- SME Bank kini sedang mengadakan perbincangan dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju) bagi kemungkinan mengadakan suntikan dana tambahan ke dalam program pembiayaan syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=707503
Published: November 07, 2012

Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata daripada dana Teras yang berjumlah RM500 juta yang telah diperuntukkan pada awalnya, kira-kira RM190 juta telah diluluskan untuk 16 permohonan di bawah program berkenaan.

"Dana permulaan yang diperlukan untuk baki 104 syarikat berpotensi di bawah Teraju dijangka berjumlah sekitar RM470 juta. Bagaimanapun, tidak semua syarikat berpotensi memerlukan dana itu.

"Pada masa ini, kami masih mempunyai dana yang mencukupi. Kami telah berjumpa dengan kesemua 120 syarikat berpotensi dan pada masa ini meneliti 29 permohonan daripada baki 104 syarikat yang akan diberikan baki dana yang bernilai RM310 juta," kata beliau kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan Teraju, di sini Selasa.

Objektif perjanjian ialah mewujudkan hubungan rasmi antara kedua-dua institusi dengan menggariskan komitmen dan hubungan perkongsian mereka dalam memajukan program pembiayaan Teras itu.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment