Sunday, November 4, 2012

Tabung Haji Akan Cari Jalan Serap Kenaikan - CEO

MAKKAH, 3 Nov (Bernama) -- Tabung Haji akan mencari jalan untuk menyerap kos kenaikan penginapan di Makkah dan Madinah berikutan perkembangan pesat di Tanah Suci, antaranya melalui perjanjian sewa jangka panjang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=706776
Published: November 04, 2012

Beliau berkata perjanjian antara lima hingga 10 tahun yang diamalkan Tabung Haji ketika ini didapati mampu mengekalkan kadar sewa dalam tempoh tersebut.

Katanya, meskipun masih terlalu awal untuk membuat kajian berhubung kenaikan kos menunaikan rukun Islam kelima itu, Tabung Haji akan mengambil langkah sewajarnya seperti yang dilakukan sebelum ini.

Ismee berkata sudah tiga tahun Tabung Haji mampu menyerap kenaikan itu walaupun kos penerbangan meningkat akibat kenaikan harga minyak selain kenaikan sewa penginapan di Tanah Suci.

"Kos sebenar untuk seorang jemaah ialah RM15,150. Jemaah hanya mengeluarkan wang sebanyak RM9,980 sahaja dan bakinya ditanggung oleh Tabung Haji melalui keuntungan pelaburan yang diperoleh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pembangunan pesat di Makkah menyaksikan bangunan lama, yang menawarkan sewa murah kepada jemaah dirobohkan untuk pembinaan penempatan dan hotel lebih mewah.

Bagaimanapun, Ismee tidak menolak kemungkinan jemaah haji Malaysia terpaksa ditempatkan di lokasi lebih jauh berbanding sekarang jika rumah penginapan dan hotel biasa di sekeliling Masjidil Haram dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan hotel lima bintang.

"Kita sentiasa pantau melalui pejabat kita di Jeddah untuk mencari bangunan alternatif yang bersesuaian. Contohnya, di pejabat ini, (ibu pejabat Tabung Haji di Abraj Al-Janadriah) jaraknya adalah sejauh 750 meter dari Masjidil Haram tetapi selepas proses pembesaran tempat suci itu, jarak menjadi lebih kurang 500 meter sahaja," katanya.

"Jika pada masa depan Tabung Haji terpaksa menyewa bangunan penginapan yang lebih jauh, kemudahan pengangkutan mungkin akan menjadi lebih baik.

"Tabung Haji akan sentiasa memastikan jemaah mendapat tempat ibadah yang sesuai jika bangunan penginapan terletak jauh dari Masjidil Haram.

"Misalnya di bangunan ibu pejabat Tabung Haji yang juga menjadi tempat penginapan, kita sewa ruang yang besar kerana kita mengadakan keperluan surau untuk jemaah kita," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment