Published: September 15, 2012
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
LANCAR...Musa (tengah) melancarkan cawangan baru Ar-Rahnu
sambil perhatikan Mohd Sharifudin (kiri) dan Mohamad Azmi.
RAKYAT Management Services Sdn Bhd, anak syarikat milik Bank Rakyat yang berperanan sebagai francaisor perniagaan pajak gadai Islam Ar-Rahnu X’Change mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan pencapaian baki pinjaman mencecah RM240 juta sehingga Ogos lalu.
Pengurus Besarnya, Mohamad Sabri Mohamed Nor berkata, jumlah yang dicatatkan itu adalah daripada operasi yang dijalankan francaisi koperasi yang setakat ini membabitkan 31 cawangan di seluruh negara.
“Rangkaian cawangan Ar-Rahnu X’Change yang diperkenalkan Bank Rakyat dijalankan melalui sistem francais dan di bawah kelolaan Bank Rakyat.
“Kebanyakan cawangan francais Ar-Rahnu X’Change menunjukkan prestasi baik malah terdapat cawangan yang mencatatkan pengeluaran pinjaman sehingga RM2 juta setiap bulan,” katanya selepas pelancaran cawangan Ar-Rahnu X’Change yang dikendalikan Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad di Seri Kembangan, semalam.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Musa Nasri, Pengerusi Koperasi Serbaguna Iman, Mohd Sharifudin Yusop dan Setiausaha KSIMB Mohamad Azmi Omaruddin.
Menurutnya, memandangkan perniagaan pajak gadai Islam semakin mendapat tempat di kalangan pelanggan, pihaknya menjangkakan untuk membuka sehingga enam lagi cawangan menjelang akhir tahun ini.
“Setakat ini, kami mempunyai 45 cawangan di seluruh negara dan akan membuka enam cawangan lagi antaranya di Melaka, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang malah menjangkakan sambutan di kalangan pelanggan bukan Islam kerana kami menawarkan upah simpan lebih rendah berbanding pajak gadai konvensional,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Sabri berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan untuk membawa jenama dan perkhidmatan Ar-Rahnu X’Change ke luar negara menerusi kajian lokaliti dengan perunding untuk mengenal pasti pasaran di beberapa negara antaranya Singapura, Indonesia dan Brunei.
Francais Ar-Rahnu X’Change dibuka untuk koperasi dengan yuran mencecah RM105,000 bagi tempoh lima tahun merangkumi yuran francais, latihan dan sistem serta deposit.
No comments:
Post a Comment