Thursday, September 6, 2012

Kanak-kanak terima sumbangan Bank Rakyat

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20120906/wu_04/Kanak-kanak-terima-sumbangan-Bank-Rakyat

Published: September 06, 2012, 2012

Zainuddin Yaacob (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya 
dan hamper kepada Norzalina Abdullah sambil diperhatikan ibunya, 
Wan Sepiah Bah Ras di Wad Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, 
Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 5 Sept. - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 150 kanak-kanak yang menghuni Wad Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) apabila menerima hamper dan duit raya bernilai RM100 sumbangan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) di sini hari ini.

Sumbangan kepada kanak-kanak berkenaan disampaikan Ketua Wilayah Tengah bank tersebut, Zainuddin Yaacob.

Menurut Zainuddin, program itu merupakan salah satu daripada aktiviti Bank Rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dan merupakan kali kelima diadakan di HRPB.

"Kami melihat senyuman dan pancaran kegembiraan di wajah anak-anak ini serta ibu bapa mereka sebagai satu kepuasan kepada kami di Bank Rakyat.

"Adalah diharapkan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat menggembirakan mereka dalam meraikan Aidilfitri tahun ini. Kami juga mendoakan anak-anak ini terus tabah menjalani proses perubatan dan segera sembuh bagi menjalani kehidupan mendatang," katanya.

Program berkenaan dijalankan serentak di 17 hospital seluruh negara termasuk Hospital Tuanku Fauziah di Kangar (Perlis); Hospital Langkawi (Kedah); Hospital Taiping (Perak) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (Kuala Terengganu).

Menurut Zainuddin, secara keseluruhan, seramai 2,070 kanak-kanak dijangka menerima manfaat daripada sumbangan Bank Rakyat berjumlah RM176,600.

"Tahun lalu, Bank Rakyat menyampaikan sumbangan kepada 1,362 kanak-kanak dengan jumlah RM136,200. Berbanding tahun lalu, sumbangan tahun ini melibatkan lebih ramai penerima.

"Selain kanak-kanak berkenaan, kami turut menyampaikan sumbangan hamper kepada 30 petugas di Wad Pediatrik HRPB sebagai tanda penghargaan kepada tugas mereka menjaga kanak-kanak terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment